Sunday, 7 December 2014

Spiritual Dan Ihsan

"Maka betasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah daripada orang-orang yang bersujud. Dan sembahlah akan Tuhanmu sehingga sampainya yakin" (Surah al-Hijr ayat 98-99).

Apa makna yakin di sini? Terdapat beberapa tafsiran, kebanyakannya mentafsirkan yakin itu adalah mati. Maksudnya beribadahlah kamu sehingga kamu mati.

Terdapat juga mentafsirkan yakin di sini merujuk kepada ketenangan setelah mana berlaku depresi, tekanan dan kelesuan. Hal ini diredaksi melalui ayat sebelumnya.

"Maka sampaikanlah secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan dan berpalinglah dari orang yang musyrik. Sesungguhnya Kami memelihara engkau (Muhammad) dari (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (engkau). (Iaitu) orang-orang yang menganggap adanya kebersamaan Allah dengan tuhan yang lain, maka kelak mereka mengetahui (akibatnya). Dan sungguh, Kami mengetahui dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka perkatakan" (Surah al-Hijr ayat 94-97).

Ayat di sini menunjukkan Rasulullah SAW mengalami kesempitan dada kerana sikap orang-orang musyrik yang memperolok-olokkan keterangan baginda. Untuk menghilangkan rasa sesak di dada, maka ayat berikutnya iaitu ayat 98-99 menyuruh untuk bertasbih dan melakukan solat supaya ibadah yang dilakukan itu dapat mengangkat beban yang ditanggung oleh baginda.

Terdapat juga mentafsirkan yakin iaitu mencapai nafsul mutmainnah, yakni ketenangan bagi jiwa.

"Wahai jiwa-jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku" (Surah al-Fajar ayat 27-30).

Ada juga yang berpendapat yakin adalah kebenaran yang mutlak, sejati dan hakiki.

Dan ada juga yang mentafsirkan yakin tersebut bermakna ihsan.

قَالَ صَدَقْتَ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ الإِحْسَانِ، قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Jibril bersoal, "Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan". Baginda bersabda, "Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu" (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no: 2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, no:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة المبشرين , no: 346).

Begitu juga mereka yang berkata yakin disini adalah sampai ke puncak "keAkuan" yang sebenar.

فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ قَتَلَهُمْ ۚ وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ رَمَىٰ ۚ وَلِيُبْلِيَ الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلَاءً حَسَنًا ۚإِنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

"Maka bukanlah engkau yang membunuh mereka, akan tetapi Allah yang membunuh mereka. Dan bukanlah engkauy ang melontar ketika engkau melimpar, akan tetapi Allah jualah yang melontar dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik daripadaNya. Sesungguhnya Allah amat Mendengar, lagi amat Mengetahui" (Surah al-Anfal ayat 17).

إنَّ الله تَعالَى قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيّاً فَقَدْ آذنتُهُ بالحربِ وما تَقَرَّب إليَّ عَبْدِي بشيءٍ أحَبَّ إليَّ مِمَّا افترضتُ عَليهِ ولا يَزالُ عَبْدِي يَتَقرَّبُ إليَّ بالنَّوافِلِ حتَّى أُحِبَّهُ فإذا أَحْبَبْتُهُ كُنتُ سَمعَهُ الّذي يَسمَعُ بهِ وبَصَرَهُ الّذي يُبْصِرُ بهِ ويَدَهُ الَّتي يَبطُشُ بها ورِجْلَهُ الّتي يَمشي بِها ولَئِنْ سأَلنِي لأُعطِيَنَّهُ ولَئِنْ استَعاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ (رواه البخاري، رقم 6137 )

"Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman, 'Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka aku umumkan peperangan terhadapnya. Tidak ada ibadah yang paling Aku cinta dari seorang hamba kecuali ibadah yang telah Aku wajibkan kepadanya. Seorang hamba yang selalu beribadah kepadaku dengan perkara-perkara sunah, niscaya Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengaran yang dengannya dia mendengar, Aku adalah penglihatan yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memukul, kakinya yang dengannya dia berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku, niscaya akan Aku berikan. Jika dia mohon perlindungan kepadaku, niscaya akan Aku lindungi." (HR. Bukhari, no. 6137).

Saya sudah menjelaskan hal tersebut di sini :

http://coretankefahaman.blogspot.com/2014/11/dalil-keakuan.html

Apapun tafsirannya, hendaklah kita sentiasa beribadah sehinggalah peringkat yakin itu menurut kefahaman masing-masing. Dan jangan sesekali pernah berhenti. Ada yang mengatakan (pada mereka yang tidak berpendapat yakin itu adalah mati), apabila sudah sampai kepada yakin, maka tidak perlu lagi untuk beribadat atau berhajat untuknya lagi, kerana ayat tersebut suruhan beribadah sehingga yakin dan apabila yakin maka sudah tidak perlu lagi untuk beribadah. Sesungguhnya ini adalah tafsiran, kefahaman dan tafsiran orang-orang zindik yang menyeleweng yang berlandaskan kebathilan.

Untuk setiap perkara, waktu, keadaan atau hal, jangan pernah terlintas atau terdetik di hati kita untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah kerana hal tersebut adalah jejak langkah syaitan yang cuba memalingkan diri kepada Allah. Sehingga yakin di sini adalah ibaratnya seperti "Belajarlah kamu sehingga ke menara gading", maka di sini apakah apabila sudah memasuki serta melepasi peringkat Universiti, maka proses pembelajaran tersebut berhenti? Sesekali tidak! Jadi untuk apa diberikan keyakinan tersebut terhadap hasil daripada ibadah tersebut?

Seseorang yang konsisten terhadap pembelajaran sehingga pada suatu saat ia mendapat suatu kenikmatan dalam pembelajaran, contohnya pertambahan ilmu pengetahuan membantu ia menyelesaikan sesuatu problematika, memahamkan orang-orang yang tidak mengetahui, membina idea yang kritis, kreatif dan inovatif, berkembang pesatnya ilmu pengetahuan dan sebagainya, maka apabila ia merasakan manisnya pembelajaran, sudah tentu ia tidak akan berhenti di situ sahaja. Pastinya ia akan meneruskan perjuangannya bagi menjayakan apa yang dicita-citakan dan memelihara keharmonian baik bagi diri, masyarakat, sosial dan negara.

Apa yang dikatakan, "Belajarlah kamu sehingga ke menara gading" adalah memberi motivasi supaya menyemarakkan semangat untuk terus gigih, rajin dan berusaha dalam menuntut ilmu. Menara gading umumnya diketahui bahawa ia tempat berkumpulnya para intelek dan ilmuan serta galeri dan perpustakaan pengetahuan yang melimpah. Tidak layak orang-orang yang jahil serta tidak punya ingin menyelami lautan ilmu berdiri di situ. Dan jika penuntut sudah sampai ke menara gading sekalipun, tidaklah bermaksud pembelajaran itu berhenti kerana menara gading adalah gelanggang pertarungan ilmu yang sengit yang tidak mampu ditempuhi melainkan mereka yang sentiasa bersedia dan mapan dalam pertarungan tersebut.

Daripada hasil tersebut, yakni telah sampai ke menara gading, makanya, ini adalah salah satu anugerah yang diberikan kepada penuntut ilmu hasil daripada kegigihan mereka. Anugerah tersebut bukanlah tempat menghalang untuk meneruskannya, tetapi sebagai suatu imbalan utuk kegigihan mereka. Bagi yang mencintai ilmu, pastinya ia begitu mencintai tempat-tempat yang boleh menjana keilmuan. Menara gading adalah salah satu tempat impian bagi mereka yang sudah sebati kasihnya terhadap ilmu. Dan jika mereka telah menjejakinya, pasti bertambah seronok dan kenikmatan serta kelazatan dalam menuntut ilmu. Lantas, mereka itu bukan sahaja sekadar belajar dan belajar lagi semata-mata. Malah, mereka akan mengembangkan ilmu tersebut, serta membina intelektual yang lebih padat serta membangunkan inovasi, kreatif, tajdid dan islah bagi mencapai kepesatan yang tinggi ke puncak ketamadunan.

Begitulah hal tersebut dengan beribadah sehingga yakin. Apabila orang tersebut mencapai yakin, mereka merasakan kelazatan dan kemanisan yang terlalu dalam sehingga mereka bertambah dan bertambah lagi amal mereka, lantas dengan pelbagai kurniaan yang Allah berikan, mereka bergembira dengan hasil usaha mereka. Bahkan mereka tidak lagi memandang hasil usaha mereka, mereka menagih pula rindu dan cinta Allah yang sangat diimpikan sehingga tidak terubat luka dan dahaga melainkan sentuhan rahmat Tuhan Yang Maha Pengasih.

Seorang hamba yang selalu beribadah kepadaku dengan perkara-perkara sunah, niscaya Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengaran yang dengannya dia mendengar, Aku adalah penglihatan yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memukul, kakinya yang dengannya dia berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku, niscaya akan Aku berikan. Jika dia mohon perlindungan kepadaku, niscaya akan Aku lindungi." (HR. Bukhari, no. 6137).

Dalam hadis ini, tanda orang yang dicintai Allah adalah mengerjakan perkara-perkara sunnah. Walaupun perkara tersebut tidaklah ditekankan dan diberatkan ke atas umat, namun inilah wasilah yang membolehkan mereka mencapai ke hadrat Tuhan. Dan apabila Allah mencintai dirinya, tidak ada lagi mudarat ditimpa atasnya dan kebaikan yang diberikan melainkan tangan Allah di atas tangan sekalian yang mendatang.

Apabila mereka sampai yakin, mereka telah melihat keajaiban yang telah mereka lalui. Contohnya, apabila mereka mengerjakan solat sunat Dhuha, tiba-tiba hidupnya dahulu ditimpa kesempitan, diberikan ruang yang luas untuk ia menjalani kehidupan. Contoh yang lain, apabila mereka mereka melaksanakan sedekah, tiba-tiba datang bermacam-macam rezeki yang tidak ia sangka. Contoh yang lain, apabila seseorang terkena sihir, lalu ia membacakan ayat-ayat suci al-Quran, tiba-tiba sihir itu terangkat dan ia menjadi ubat yang mujarab bagi penyakitnya.

Keajaiban inilah hasil usaha ibadah yang mereka lakukan. Lantas dengan kenikmatan yang diperoleh ini, maka mereka merasa seronok dan bertambah giat untuk melaksanakannya lagi dan lagi. Kenikmatan yang mendatang tidak menghalang mereka untuk berhenti ibadah dan menjadikan mereka meninggalkan untuk beribadah. Bahkan ia menjadi suatu motivasi serta menjadi penyebab seorang hamba itu menjadi baik sehingga lebih baik dan menaiklah ia darjat lebih baik. Allah sesekali tidak menghampakan hamba-hambaNya.

Dan hinggakan mereka tidak lagi memandang keajaiban dan apa-apa yang didatangkan kenikmatan terhadap dirinya. Mereka hanya memandang Allah itu semata-mata. Hanya Allah segala-galanya. Allah-lah segala pandangannya, rasanya, pancainderanya dan puncak tujuannya. Segala dirinya dalam bayangan Allah dan mendapat naungan Allah. Tidaklah gerak geri mereka itu melainkan mereka cinta terhadap Allah dan Allah redha terhadap-Nya. Tidak ada keharuman yang sangat mewangikan bagi para hamba melainkan semerbak kasturi dakapan Allah terhadap dirinya. Hanya Allah! Semata-mata Allah! Dari Allah, bagi Allah, untuk Allah, kepada Allah.

Setiap detik jantungnya dan hembusan nafasnya sentiasa memuji Allah. Setiap pandangannya adalah pemujaan dan pengkultusan terhadap Allah. Setiap rasa dan tangkapan pancainderanya adalah sentuhan Allah. Akal dan fikiran semuanya tentang Allah. Tidak terlintas apa-apa selain diri-Nya, baik apa-apa kenikmatan yang melazatkan dan apa-apa yang memeritkan hatinya. Ia menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah SWT. Ia merenangi lautan api semata-mata meredah cinta yang tidak berpenghujung. Ia meninggalkan bidadari yang anggun, cantik dan montok, arak-arak yang melazatkan serta mahligai indah daripada emas dan permata kerana terpesona dengan keindahan dan kecantikan Allah serta sentuhan-Nya yang sangat lembut dan mengasyikkan.

Begitulah orang-orang yang sudah sampai pada yakin. Padanya kenikmatan yang hak sehingga ia meredhai Allah dalam setiap perkara dan Allah juga meredhai dirinya dengan kasih sayang.

Maka, jika anda bertanya apakah yang dikatakan spiritual, maka jawapannya adalah ia adalah sesuatu yang diperoleh hasil daripada interaksi, komunikasi dan perhubungan terhadap sesuatu. Baik ia sesuatu yang pahit ataupun manis. Atau lebih halus lagi ia berkaitan dengan kerohanian setelahmana terbitnya iman dan islam dalam meniti jalan agama.

Agama adalah nasihat, iaitu interaksi terhadap Tuhan serta praktikal yang telah ditetapkan atas perhubungan tersebut. Apabila sudah terbitnya iman dengan kepercayaan yang telah ditegakkan hujahnya, maka menujulah ia ke dalam gerbang agama yang diredhai Allah, iaitu Islam. Saya sudah menjelaskannya di sini :

http://coretankefahaman.blogspot.com/2014/12/agama-iman-dan-islam.html

Apa yang saya hendak tekankan di sini adalah lanjutan terhadapnya, iaitu hasil setelahmana seorang yang beriman memasuki Islam secara keseluruhannya. Semestinya pelbagai hasil yang ia akan peroleh sama ada buruk atau baiknya. Buruk di sini bukanlah terdapat ajaran agama itu mempunyai suatu yang tercela, tetapi di sini adalah ia faktor-faktor yang menjadikan seseorang mendapat pengalaman yang pahit ketikamana beragama seperti dicela oleh rakan, dikhianati oleh orang 'alim, didustai, tersilap kefahaman dan sebagainya.

Buruk dan baiknya pengalaman itu akan membentuk hati dan jiwa supaya sama ada daripada yang buruk menjadi baik atau yang baik menjadi lebih baik atau yang lebih baik menjadi terbaik. Pengalaman kerohanian inilah yang akan membantu seseorang dalam sesuatu kefahaman terhadap sesuatu. Contohnya seseorang yang mengalami kerunsingan akibat dakwahnya mendapat tentangan yang hebat, depresi yang mendalam sehingga ia ingin jatuh dan merebah, tiba-tiba seolah Allah menyelematkan ia terjunam daripada jurang yang dalam. Maka pengalaman yang berupa keajaiban ini akan membantu seseorang supaya terus lebih kuat dan konsisten berpegang pada agama dan terus menyebarkan dakwahnya. Atau contoh yang lain seseorang memahami agama dengan kefahaman yang salah dan menyeleweng seperti Muktazilah, Jahmiyyah dan aliran sesat yang lain, lantas tiba-tiba dikurniakan akannya seorang faqih memberi kefahaman sebenar terhadap agama Islam, lalu ia bertaubat dan berubah menjadi seorang yang berpijak di atas jalan-jalan kebenaran.

Contoh yang lain dikisahkan tiga orang yang terperangkap dalam gua oleh batu besar, apabila mereka bertawassul dengan amal soleh mereka, maka terangkatlah batu tersebut dan selamatlah mereka daripada kegelapan gua tersebut. Contoh yang lain seseorang mengalami sesuatu yang diluar rasional atau adat, lalu ia sangkakan karamah, tetapi rupanya ia adalah tipu daya syaitan supaya terjebak dengan tipu daya yang sangat halus. Contoh yang lain juga seseorang mengalami ihsan, iaitu seolah-olah melihat Allah, maka mengertilah ia apa yang dikatakan musyahadah dengan sebenar-benar penyaksian yang bukan hanya semata-mata bersandarkan penerangan ilmu, tafsir dan makna dan ia juga mengalami Allah melihat mereka, maka mengertilah ia pengertian muraqabah dengan sebenar-benar perasaan, bukan yang dibuat-buat atau diakal-akalkan.

Di sinilah pengalaman kerohanian yang membantu dirinya sama ada untuk beribadah, menjalani kehidupan, mengamalkan gaya hidup serta mengajarkan orang lain. Agar menjadi seorang Muslimin yang berjaya, maka pemberian spiritual inilah yang membentuk peribadi seseorang dan pandangan terhadap sesuatu. Apapun, semuanya daripada Allah dan kepada Allah jualah tempat kembalinya. Tidak memberi akan kemudaratan dan manfaat melainkan dengan qudrat dan iradah Allah.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment