Sunday 7 December 2014

Agama, Iman Dan Islam

Ada seorang sahabat Muslim bertanya (semoga Allah rahmatinya), "Bolehkah seseorang itu mengenal Tuhan dan hidup bertuhan tanpa terikat dengan mana-mana agama?". Maka saya jawab, "Apabila kamu berhubungan, berinteraksi dan berkomunikasi dengan Tuhan, maka beragamalah kamu".

 عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : (( الدِّیْنُ النَّصِيْحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ، وَعَامَّتِهِمْ

Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daari r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: "Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya." (Riwayat Ahmad no. 16982, Muslim no. 55 dan Abu Daud no. 4944).

Terdapat banyak intreptasi akan makna nasihat tersebut sama ada memberikan peringatan, pesanan atau sebagainya. Akan tetapi untuk apa Allah, Rasul-Nya dan kitabNya diberikan peringatan, pesanan dan seumpamanya? Bahkan kitalah yang perlu diberi peringatan! Maka, nasihat di sini ialah perhubungan, interaksi dan komunikasi. Maka, agama adalah suatu perhubungan terhadap sesuatu yang melahirkan interaksi dan komunikasi terhadap sesuatu yang dihubungkan itu. Oleh itu, agama Islam adalah interaksi kepada Allah, Rasul, kitab al-Quran, khalifah atau imam atau pemimpin Muslimin dan saudara seagama sekalian. Islam adalah :

الإِسْلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ الله وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَتُقِيْ مَ
الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّآَاةَ، وَتَصُوْمُ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيْلاَ

"lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya" (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no: 2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, no: 4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة المبشرین , no: 346).

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khatthab ( رضي الله عنهما ) beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبي عَبْدِ الرَّحمنِ عبدِ الله بْنِ عُمَرَ بْنِ الخطابِ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ ا للهِ
صَلَّى اللهُ عَليهِ وَسَلَّمَ یَقُولُ: (( بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شهادَةِ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ الله وَأَنَّ مُحمدً ا
رَسُولُ الله، وَإِقَامِ الصَّلاةِ، وَإِیْتَاءِ الزَّآَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ )). رواه البخاري

"lslam itu terbina atas lima perkara: Naik saksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan" [Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya dalam Kitab (al-Iman) bab (( بابالإیمان وقول النبي صلى الله عليه وسلم بني الإسلام على خمس)) hadis nombor 8. Al-Imam Muslim dalam bab ( باببيان أرآان الإسلام ودعائمه العظام) hadis nombor 16].

1 - Bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah. 

Nasihat kepada Allah iaitu menjadi saksi, memperakui, mengiktiraf, berikrar dan bersumpah bahawa hanya Allah SWT adalah Tuhan yang memiliki segala kesempurnaan dan tiada kekurangan bagi-Nya serta Dialah pentadbir, pemerintah, penggubal, pekuasa dan sebagainya. Serta bersaksi, memperakui, berikrar dan bersumpah bahawa Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai utusanNya untuk membawa risalah daripada-Nya dan memberikan petunjuk kepada syariat Islam.

2 - Mendirikan Solat 

Nasihat kepada Rasulullah SAW. Iaitu :

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

“Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/7, no. 595)

3 - Mengerjakan Puasa Di Bulan Ramadhan

Nasihat kepada kitab Allah iaitu al-Quran. Kerana bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan al-Quran.

"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan pembeza (hak dan bathil)..." (Surah al-Baqarah ayat 185).

4 - Menunaikan Zakat.

Nasihat kepada pemimpin Muslimin supaya mengagihkan zakat kepada mereka yang berhak menerima zakat dan memerintahkan kepada sekalian Muslim supaya mengeluarkan zakat.

5 - Menunaikan Haji Di Baitullah 

Nasihat kepada kaum Muslimin, iaitu seluruh umat Muslimin berkumpul dan bertemu di suatu tempat kerana Allah dan menjalinkan hubungan persaudaraan keagamaan di dalam syariat Allah SWT.

Maka demikianlah sedikit sebanyak gambaran tentang agama. Selain adanya perhubungan dengan Tuhan, maka menerima dan mengikuti risalah yang disampaikan oleh utusan Tuhan, menjalinkan interaksi antara komuniti dan alam serta mengikut cara hidup yang ditetapkan, maka itulah yang membentuk agama pada diri masing-masing.

Jika ditanyakan, apakah itu iman? Iman adalah kepercayaan terhadap sesuatu dengan keyakinan yang hak dengan penegakan hujah yang benar terhadap anutan yang dipegang olehnya.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Nasrani dan orang-orang Saabi`in sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan hari akhirat serta beramal salih, maka bagi mereka pahala balasannya disisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita" (Surah al-Baqarah ayat 62).

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Saabiin dan orang-orang Nasrani, sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita" (Surah al-Maidah ayat 69).

Allah SWT mengiktiraf kepercayaan dahulu dari kalangan mereka yang Yahudi, Nasrani dan Saabiin. Dan mereka semua diberikan ganjaran iaitu menghilangkan kebimbangan dan menghapuskan dukacita bagi mereka yang beriman kepada Allah, hari akhirat dan beramal soleh.

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanya angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang) apa yang kamu katakan itu, jika benar kamu orang-orang yang benar". Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya disisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Dan orang-orang Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan" dan orang-orang Nasrani pula berkata: "Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan" padahal mereka membaca kitab. Demikian juga orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.(Surah al-Baqarah ayat 111-113).

Apa yang hendak diterangkan di sini bukanlah berkenaan perselisihan antara Yahudi, Nasrani dan orang yang tidak berilmu pengetahuan. Yang hendak ditekankan di sini adalah kepercayaan iaitu iman hendaklah kukuh dengan hujah yang benar dan nyata. Jika tidak, bagaimana mungkin Allah mengiktiraf daripada kalangan Yahudi, Nasrani dan Saabiin yang beriman kepada Allah, hari akhirat dan beramal soleh jika ia dianuti dengan hujah yang bathil dan menyeleweng. Jadi, kepercayaan tentang sesuatu serta amalan di dalam agama itu hendaklah berdasarkan keterangan yang nyata dan benar. 

"Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-Rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka tidak akan berdukacita" (Surah al-An'am ayat 48).

"Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-Rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat-Ku, maka sesiapa yang bertakwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita" (Surah al-A'raf ayat 35).

Maka Rasul-rasul terdahulu telah menyampaikan kebenaran kepada mereka dengan hujah yang nyata dan jelas supaya manusia beriman kepada Allah, hari akhirat dan beramal soleh sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang mengikutinya, maka termasuklah orang-orang yang selamat. 

Adapun, pada hari ini anutan terdahulu telah pun mansuh dan Allah mengurniakan agama Islam untuk satu-satunya pegangan yang benar dan hak.

"Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam..." (Surah Ali Imran ayat 19).

Di sini kita mengikuti syariat Nabi Muhammad SAW bukan kerana faktor ajaran mereka telah menyeleweng, kitab yang asal telah dirubah, berlaku perselisihan di antara mereka, sebahagian mereka menjadi para rahib sebagai Tuhan atau seumpamanya. Akan tetapi, kita mengikuti Nabi Muhammad SAW kerana ia adalah perintah Allah jua.

Dan ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan al-Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan(nya) lalu mereka berkata: "Diamlah kamu! (untuk mendengarkannya)". Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan. Mereka berkata, "Hai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus. Hai kaum kami! Terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih. Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata" (Surah al-Ahqaf ayat 29-32).

Ayat di atas menceritakan serombongan jin mendengarkan ayat al-Quran daripada Nabi Muhammad SAW lantas disampaikan kepada kaumnya. Rombongan jin tersebut telah mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW sepertimana yang telah disebutkan oleh para Nabi dan Rasul terdahulu tentang kebenaran syariat Nabi Muhammad SAW dan petunjuk yang benar daripada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW adalah bukti kebenaran Allah untuk diperakui dan diikuti segala perintah-Nya.

"Orang-orang yang telah Kami berikan kitab (Taurat dan Injil) mengenalnya (Muhammad) seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Sesungguhnya sebahagian mereka pasti menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui" (Surah al-Baqarah ayat 146).

Dan ketika Nabi Isa ibn Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad". Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!" (Surah as-Saff ayat 6).

Para Nabi dan Rasul serta kitab terdahulu telah menerangkan perihal Nabi Muhammad SAW yang membolehkan mereka mengenalinya dengan jelas dan nyata. Pengutusan baginda adalah supaya mengikuti apa yang telah dibawa olehnya daripada Allah SWT dan ia merupakan suatu perintah jua sepertimana kitab-kitab terdahulu. Dan inilah apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, suatu risalah supaya kembali kepada Allah dengan sebenar-benarnya serta mengikuti-Nya sebaik-baiknya.

Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil, akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesunggguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran ayat 64).

Jika mereka beriman terhadap Allah, sudah pasti mereka akan mengikuti Nabi Muhammad SAW kerana Allah telah mengutuskan Nabi Isa AS untuk mengkhabarkan tentang Nabi Muhammad SAW. Tetapi mereka tidaklah beriman kepada Allah, mereka beriman kepada kebathilan daripada tipu daya mereka sendiri. Sebab itulah mereka sanggup mengadakan kebohongan terhadap Allah SWT dan berpaling daripada kebenaran walaupun sudah ditegakkan hujah yang nyata dan jelas terhadap mereka.

"Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada Islam dan Allah tidak memberi hidayah pertunjuk kepada orang-orang yang zalim" (Surah as-Saff ayat 7).

"Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya orang-orang yang kafir menurut kebathilan, dan sesungguhnya orang-orang yang beriman menurut perkara yang benar dari Tuhan mereka. Demikianlah Allah menerangkan kepada umat manusia akan sifat dan akibat bawaan mereka masing-masing" (Surah Muhammad ayat 3).

"Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang daripada Tuhan sama dengan orang yang dijadikan terasa indah baginya perbuatan buruknya dan mengikuti keinginannya?" (Surah Muhammad ayat 14).

Maka, ikutilah Nabi Muhammad SAW kerana keimanannya adalah hak dan kukuh serta syariatnya adalah konkrit didasari atas kesempurnaan, kebaikan dan kemuliaan.

"Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang ialah kebenaran dari Tuhan mereka, Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan menjayakan keadaan mereka" (Surah Muhammad ayat 2).

Jika ditanya, apakah Islam itu agama pada ketika diutusnya Nabi Muhammad SAW atau ia sudah ada semenjak dahulu lagi? Jawapannya, ia telah ada semenjak dahulu lagi.

"Dan Ibrahim berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan Ya`qub katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untuk kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam". Apakah kamu hadir ketika Nabi Ya`qub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishaq, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri". (Surah al-Baqarah ayat 132-133).

Jika perkataan Islam itu berlaku pada kerasulan Nabi Muhammad SAW. Mana mungkin Nabi Ibrahim dan Nabi Ya'qub AS berwasiat supaya jangan mati dalam keadaan Islam. Maka, agama Islam sudah terdahulu dan kemudian disempurnakan dan dibawakan pula oleh Nabi Muhammad SAW untuk diikuti. Islam adalah penyerahan diri yang mutlak terhadap Allah SWT. Sesudah kamu beriman iaitu berpegang kepada kepercayaan yang hak dengan hujah yang jelas, maka kamu akan berinteraksi, berhubungan dan komunikasi terhadap apa yang kamu anuti.

Ketika berkata Tuhan kepadanya (Ibrahim), "Berseralahlah!", dia menjawab, "aku berserah diri kepada Tuhan sekalian alam" (Surah al-Baqarah ayat 131).

 Apakah kamu hadir ketika Nabi Ya`qub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishaq, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri". (Surah al-Baqarah ayat 133).

"Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya disisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita" (Surah al-Baqarah ayat 112).

Iaitu menyerahkan diri kepada Allah SWT dengan menjadi hamba-Nya serta melaksanakan perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya serta tidak mempersekutukan terhadap Allah dengan apa jua sesuatu. 

"... Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku ridhai Islam itu jadi agama bagimu...." (Surah al-Maidah ayat 3).

Maka Allah telah meredhai agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan Allah mencukupkan nikmat kepada mereka yang di dalam naungan Islam sebenar-benarnya. Oleh itu, janganlah mengikut mereka yang mengikuti kebathilan serta jejak langkah syaitan daripada kalangan jin dan manusia yang menyesatkan kamu daripada petunjuk yang telah benar dan jelas.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata" (Surah al-Baqarah ayat 208).

Janganlah hanya mengambil sebahagian lalu menolak sebahagian yang lain kerana itulah penyebab binasanya ahli kitab terdahulu.

"...Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain?..." (Surah al-Baqarah ayat 85).

Jika benar mereka mengikuti petunjuk yang jelas dan beriman kepada kitab seluruhnya, pasti mereka akan mengikuti syariat Nabi Muhammad SAW jika sampainya keterangan kerasulan baginda. Tetapi mereka mengingkarinya kerana mereka tidak beriman sepenuhnya terhadap apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT. Mereka bukanlah mengikuti Allah, Tuhan sekalian alam, tetapi mereka mengikut kebathilan walaupun telah sampai kebenaran Rasulullah SAW.

"Orang-orang yang telah Kami berikan kitab (Taurat dan Injil) mengenalnya (Muhammad) seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Sesungguhnya sebahagian mereka pasti menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui" (Surah al-Baqarah ayat 146).

Sesungguhnya orang-orang yang berbalik setelah petunjuk itu jelas bagi mereka, syaitanlah yang merayu mereka dan memanjangkan angan-angan mereka. Yang demikian kerana mereka berkata kepada orang-orang yang tidak menyukai perkara yang diturunkan oleh Allah: "Kami akan patuh kepada kamu pada setengah perkara itu", sedang Allah mengetahui segala yang mereka sembunyikan. Maka bagaimanakah apabila malaikat mengambil nyawa mereka sambil memukul muka dan punggong mereka? Itu kerana mereka menurut perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan mereka pula membenci perkara-perkara yang diredhaiNya oleh itu, Allah gugurkan amal-amal mereka (Surah Muhammad ayat 25-28).

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman" (Surah Ali Imran ayat 100).

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment