Thursday 13 November 2014

Sebenar-benar AKU itu

Istilah “diri” merupakan salah satu kunci membuka tentang mengenal diri. Tentang pengenalan diri itulah makrifat. Berkata orang ‘arif bahawa, “Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka kenallah Tuhannya”. Jadi, sangatlah penting untuk kita memahami dengan benar akan perkataan “diri” ini, yakni tentang apa yang dikatakan “diri” itu dengan Allah SWT dan mengapa dikatakan “barangsiapa yang mengenal dirinya, maka kenallah Tuhannya”. Tentang ini, begitu banyak perselisihan faham akan tentang “diri” ini. Kita serahkan sahajalah pada kefahaman masing-masing tanpa bertekak untuk terus bertelingkah dan untuk terus menyalahkan sesama sendiri.

Ketahuilah wahai sahabatku, “diri” itu berasal daripada “aku” yang mutlak dan hakiki dan ia adalah satu tajalli atau kenyataan atau rahsia Tuhan. Keadaannya pula bersifat halus dan ia merupakan cahaya atau nur yang memancar dan meliputi badan dari dalamnya. “Diri” inilah yang menjalani perintah dan amanah Tuhan serta menjalani kerja Tuhan pada kehambaan selagi ia berbadan. “Diri” yang kau kenali inilah yang difahami dan yang diduduki.

Tempat bagi “diri” ini pula dibawah kulit kita ini dan ia meliputi dari dalam dan “diri” ini ada berbentuk sebagaimana bentuknya badan akan tetapi ia bersifat halus dan hanya dapat kita tahu sahaja jua. Namun gambaran nya boleh dikatakan ianya sebagaimana gambaran luaran ini. Kedudukan nya sebagaimana duduknya badan. Contoh, “diri” ini diumpamakan seumpama air yang dituang ke dalam bekas yang berbentuk. Cuba perhatikan bagaimana ia memenuhi ruang tadi apabila berada ruangan yang berbentuk itu? Sudah tentu ia akan menuruti keadaan ruangan itu sendiri. Dan kalau kita ubahkan keadaan ruangan tadi maka ia akan menuruti juga perubahan ruangan itu dengan airnya. Inilah keadaan “diri” kau.

"Diri" adalah pancaran nur Tuhan menerangi alam-Nya iaitu badan diri ataupun alam saghir mengisi ruangan dan memenuhi kekosongan pada keadaan badannya. Dalam bahasa biasa kita gunakan ianya dipangil nyawa atau jiwa untuk menandakan "diri" itu wujud. Maka kita dapat mengetahuinya dengan tanda-tanda hidup iaitu nafas dan juga pergerakan-pergerakan semulajadi seperti nadi, darah dan jantung, maka inilah dia keadaan "diri" kau.

Ingatlah olehmu wahai sahabatku, di dalam peramalan kita maka perlulah kita dapat mengenal akan “diri” ini kerana ia merupakan asas bagi mengenal Tuhan. Untuk itu apabila kau sudah dapat menemuinya maka kau akan tahu betapa besarnya kurnia Tuhan padamu. Untuk itu buatlah penyaksian dan pengakuan dengan sebenar-benar pengakuan kepada Tuhanmu agar kau dapat pengakuan darinya.

Fana’kanlah keadaanmu itu dan serahkanlah kepadanya moga-moga kau dapat menemukan mutiara hidup yang bernilai tinggi.

Apabila kau temuinya pasti kau akan merasa nikmat didalam hidup ini. Teruskanlah perjalananmu itu. “Diri” terhasil dari penyatuan molikul-molikul ghaib yang bersatu atas kehendak Tuhan secara semulajadi dan apabila bersatu kesemuanya lalu berdirilah ia dengan Qudrat Ilahi. “Hayyun daaimu la yamut”. “Diri” mengikut ahli hakikat diri ini terbahagi kepada 4 bahagian iaitu :

1) diri sendiri (insan iaitu apabila roh dan jasad bersatu)

2) diri terdiri (nyawa)

3) diri tajalli (roh)

4) diri terperi (nafs)

Namun kesemuanya itu satu jua hakikatnya. Walau apapun namanya kita tetap berada pada fahaman “diri” ini adalah pancaran Nur Ilahi rahsia Tuhan yang Maha Kuasa. Inilah “diri” yang kau kenal! “Diri” yang berdiri dengan sendiri kerana “diri” kau inilah Qudrat Ilahi.

"Diri" adalah penyata bagi "aku".

"Aku" adalah kalimah mufrad (satu) dan ia tidak mewakili mana-mana jenis samada lelaki atau pun wanita dan ia melepasi anggapan itu. "Aku" adalah satu hal yang tidak ada padanya gambaran yang nyata kerana ia bersifat tidak nyata (negatif), dan sesungguhnya "aku" itu adalah satu rahsia yang ditajjallikan oleh Tuhan dan ia menjadi penyata bagi Zatullah.

"Aku" adalah merupakan sifat Tuhan yang terbit dari Tuhan Yang Maha Kuasa. Padanya pula terdiri akan sifat-sifat kebesaran Tuhan kerana ia ("aku") itu adalah penyata bagi Zat Tuhan atau dengan kata lain dia ("aku") itulah kenyataan Tuhan. Sesungguhnya Zatullah itu tidaklah dapat kita ketahui akan keadaan dirinya dan jauh sekali untuk kita mengatakan dia itu berupa dan macam-macam lagi, kerana ia LAISA KAMISLIHI SYAI’UN, tidak menyerupai dengan sesuatu apa pun.

Oleh kerana itulah Tuhan mahu memperkenalkan diri-Nya maka ia telah menyatakan akan sifat Tuhan dan ia yang bernama “aku”.

Dalam ilmu hakikat, “aku” ini digelarkan oleh mereka dengan nama “Ammar Robbi” (urusan tuhan) dan ia membawa makna kepada Keadaan Tuhan padanya.

Perlu di ingat “aku” itu bukanlah Tuhan akan tetapi ianya penyata yang dinyatakan Tuhan agar ia nyata maka apabila ia (“aku”) nyata maka nyatalah kebesaran Tuhan itu, kerana kalau ia tidak nyata maka kebesaran Tuhan tidak akan nyata dan kita tidak akan tahu yang Tuhan itu ada walaupun ia ada.

Didalam ilmu yang kita perlajari ini saya ingin menyatakan bahawa “aku” itu adalah penyata Tuhan dan ia merupakan titik pertama yang dinyatakan Tuhan pada jasad ini. Apabila ia berada di dalam badan diri ini maka ia telah menjadi diri pula. “Aku” yang tadinya merupakan titik atau noktah awal kini telah berkembang menjadi diri dan diri itulah cahaya Tuhan yang dinyatakannya daripadanyalah (“aku”) mendatangkan kehidupan kepada badan kita ini.

Pada “aku” itu ada berbagai-bagai rahsia dan ia merupakan satu khazanah Tuhan kepada kita ini. Asal kita mahu pasti kita akan dapat sesuatu darinya tetapi dengan syarat kita mesti mengenal dan mengetahui akan keadaaan nya.

"Aku" yang tidak berupa dan bertampan ini hanya mampu kau tahu sahaja kerana ianya satu hal yang terahsia pada keadaan sifat kezahiran rupa paras dan bentuk. Oleh itu kau hanya mampu tahu dan merasai sahaja akan keberadaan "aku" pada badan dirimu itu.

"Aku" merupakan induk kepada kehidupanmu itu tanpa "aku" kau akan mati. Sahabatku, ketahuilah olehmu bahawa "aku" itu adalah penyata Tuhan dan padanya ada beberapa sifat yang telah digantungkan oleh Tuhan bagi menyatakan dan mendalilkan akan kebesaran Tuhan dan dengannya (sifat) ia dapat mentadbir alam badan diri ini.

Sifat-sifat itu adalah :

1) hayat

2) ilmu

3) qudrat

4) irodhat

5) sama’

6) basar

7) kalam

Inilah sifat-sifat nya dan ia dipangil Sifat Ma’ani. Sebenarnya sifat-sifat ini ada pasangannya dan ia terzahir dari pasangan itulah. Siapakah pasangan nya itu? Pasangan nya itu adalah sifat maknawiah iaitu :

1) hayyun

2) alimun

3) qodirun

4) muriidun

5) sami’un

6) basirun

7) mutakalliman

Sifat-sifat ini adalah pasangannya dan ia menunjukan akan keadaan Tuhan pada Kebesaran-Nya itu. Maka jelaslah bagi kita ini bahawa “aku” itu membawa faham kepada kita dengan makna kenyataan Tuhan.

Adalah Zat dan Sifat itu sebenarnya tidak terpisah dan saya tidaklah mengatakan ianya terpisah akan tetapi dalam menyatakan kalimah “aku” ini.

Saya menyatakan ianya adalah penyataan, umpama lampu suluh mengeluarkan cahaya dan menyuluh dinding. Cahaya pada dinding itu adalah cahayanya dan cahaya pada cermin lampu itupun cahaya nya, oleh itu adakah cahaya yang berada pada dinding itu terpisah dari lampu dan cahaya pada cermin lampu itu? Tentu tidak bukan, walaupun ianya berjarak dengan jarak yang jauh, kerana ianya adalah tali bertali dari punca yang sama.

Maka tali itulah bagi “aku” ianya sifat Ma’ani dan tali bagi penyambungnya itu adalah sifat Ma’nawiah dan ia dari Tuhan jua datangnya.

"Man la ya’rif fala ya’zauk", barang siapa tak mengenal maka tak akan merasai. Sahabatku, kau perlu meletakkan fahaman mu itu dalam hal ini kepada kedudukan "aku" kerana itulah asal dirimu dan asal dibalik asalmu itu adalah dari Zat jua adanya dan semua yang ada ini berasal dari nya iaitu daripada ilmunya.

Kau jangan bicara tentang keadaan zat Tuhan kerana kau tidak mampu untuk itu. Cukuplah kau bicara tentang “aku” kerana ia adalah asal mula dirimu dan darinya dirimu terbit. Kata orang bijak pandai “mengenal diri mengenal tuhan” dan “aku” itulah Zat bagi diri dan diri itu kenyataan”ku”.

"Aku" adalah kenyataan tuhan dan ia adalah sifat kesempunaanNya. Bila "aku" menerima badan maka diriku terbit mendatang pula dan aku lenyap didalamnya itulah saya mengatakan ianya adalah zat Diri, bukan Zat Tuhan, kerana

AKU adalah AKU,

AKU bukan TUHAN,

TUHAN adalah TUHAN,

TUHAN bukan AKU,

AKU tidak lain daripada TUHAN,

AKU datangnya dari TUHAN

AKU LAH………………………….. KETUHANAN!!!

Renungilah olehmu dengan pandangan basirahmu agar kau tahu dan mengerti dan temuilah “aku”. Kehidupan yang kita ada ini merupakan dalil penyataan Af’al (perbuatan) “aku” yang mana ia terjadi melalui proses-proses semulajadi. “Aku” yang menanggung Amanah Dari Tuhan membawa dan menerima suatu tugas yang besar didalam menjalani kehidupan didunia maupun akhirat.

Ingat-ingatlah wahai sahabat-sahabatku,

Dalam perjalanan ini pastikan kau meletakkan semua pengharapan kepada “aku” kerana “aku” itu cukup mencukupi bagi mu. Rahsia Ilahi Yang Maha Kuasa itulah yang menjadi bekalanmu. “Aku” yang hidup tiada mati, kekal tiada binasa menjadi diri bagi badanku sendiri dan kini “aku” bergerak pada jalanku iaitu jalan rahsia ilahi. “Aku” adalah rahsia Tuhan menyata Sifat Yang Maha Esa. Kini aku telah berbadan Hidup didunia sebagai hamba.

Wallahua’lam.

------

Ambilan, dikemaskini dan diolah daripada Fakir Abdillah.

No comments:

Post a Comment