Thursday 13 November 2014

Penambahan Yang Tidak Perlu

Sebahagian sesuatu ada penjelasannya. Penjelasannya mungkin panjang lebar dan memerlukan perbahasan yang sangat panjang dan terpeinci bagi memberikan tahkik dan kefahaman secara halus dan lumat. Kadang ia memerlukan suatu pengistilahan yang baru yang kadang kelihatan pelik, aneh dan ganjil serta pengolahan yang sangat rumit dan sukar dimengerti. Namun apa pun, objektifnya adalah memberi suatu pencerahan bagi mengembangkan sesuatu idea terhadap apa yang ingin diperjelaskan.

Tetapi tidak semua penjelasan yang panjang lebar itu tidak ada penambahan yang tidak perlu dan berlebih-lebihan sehingga ia menjadi penambah kerumitan dan kecelaruan. Sudahlah sebahagiannya tidak memiliki sandaran dan pijakan, ia pula menjadi pegangan yang perlu digenggam erat. Malah ia seperti diwajibkan pula untuk berpegang padanya dan sesiapa yang menolaknya ia seperti memperlekehkan para ulama' yang telah mencurahkan pendapat dan pandangan. Begitulah penekanan yang ditekankan pada orang lain dengan kononnya apabila tidak berpegang padanya membawa kepada kesesatan dan terkeluar daripada kefahaman para ulama'.

Begitulah dakwaan yang meleset dan tuduhan yang lancang diberikan kerana mereka tidak mahu dicabar dan dibantah. Melahirkan seorang pengikut yang hanya sekadar tunduk dan menjadi lembu yang dicucuk hidungnya sehinggakan mematikan tradisi ilmu yang menekankan para penuntut ilmu untuk mengerahkan usaha mengkaji, menyelidik dan meneroka. Bilamana para penuntut ilmu bertanya untuk kepastian atau penjelasan, mereka pula dihalang dan dimarahi kerana kononnya cuba ingin melampaui para ulama' yang telah menyiapkan suatu usul dan landasan yang perlu dilalui baginya.

Mereka ini seperti kelompok katak di bawah tempurung. Apabila seekor katak ingin keluar daripada tempurungnya, maka katak yang lain menghalang, kononnya apabila ia keluar daripada tempurung nanti takut mati dilenyek oleh kereta atau banyak ular di luar sana yang menanti mangsa di luar sana tersebut. Dengan momokan ketakutan yang disebar-sebarkan, lalu dibawa pula ayat gubahan indah kononnya tempurung tersebut rahmat daripada Tuhan supaya melindungi kita daripada kecelakaan di luar masuk memusnahkan kita.

Begitulah bunyi-bunyian yang cuba menyempitkan apa yang telah diluaskan oleh Allah dan menutup banyak jalan sehingga yang mudah menjadi payah, yang wasatiyyah berubah menjadi jumud, yang moderat jadi taksub dan mengurung sang merpati di dalam sangkar yang sempit. Dan juga menjadi taktik menutup kejahilan diri supaya orang lain terus menjadi pengikut-pengikut buta yang tidak lagi menggunakan akal untuk berfikir. Hentikanlah sikap memomokkan dengan menakutkan benda-benda yang tidak sepatutnya ditakuti. Bukan kita menafikan perkara itu tidak akan berlaku, tetapi melampau dalam khuatir terhadap sesuatu perkara adalah perkara yang dibenci oleh Allah SWT kerana bersikap berlebihan adalah sesuatu yang tidak disukai oleh-Nya. Sebab itulah orang yang berlebihan dalam Sadd az-Zara'i adalah sama seperti orang yang melampau dalam melonggarkan perlaksanaan syariat kerana sikap yang berlebihan.

Orang yang tidak bersetuju terhadap sesuatu bukan bermakna ia membenci pada orang yang mengemukakan sesuatu pendapat yang tidak setuju baginya atau ingin tunjuk hebat bahawa dia lebih terkehadapan daripada orang yang mengemukakan sesuatu pendapat yang tidak setuju baginya. Kebanyakan tuduhan liar dan tidak berasas inilah yang selalu menjadi dalil bagi menghalangi mereka ingin mencari alternatif lain atau membuat perbandingan untuk menentukan mana yang lebih benar dan kuat.

Penuntut ilmu adalah mereka yang mengerahkan usaha untuk mengkaji, meneliti dan meneroka sesuatu perkara. Itulah ciri yang ada pada mereka dan hendaklah kita meraikan kesungguhan mereka dalam meneliti dan mengkaji. Bersikap terbukalah walaupun ia mempunyai kekurangan dan kesilapan, hal tersebut bukannya bermakna penutup dan penghadang bagi ia meneruskan pembelajarannya. Sepertimana kita sebagai pembeli kereta, kita berhak untuk bertanya dan membandingkan pada kereta mana yang sesuai dengan dirinya baik dari segi kewangan, keperluan dan tuntuan hajatnya. Walaupun kita tidak tahu komponen, alatan, teknikal dan struktur yang terdapat pada kenderaan tersebut seperti cara pembuatannya, cara ia direkabentuk, bagaimana setiap kompenen kenderaan berfungsi dan sebagainya, tetap tidak menghalang kita untuk mengkaji dan membuat pilihan mana yang terbaik buat diri kita.

Begitulah dalam hal agama. Walaupun seorang penuntut ilmu tidak mampu untuk mengetahui mendalam hal-hal seperti usul dalam setiap mazhab, pendalilan bagi setiap pendapat, kaedah-kaedah dalam pengeluaran hukum dan seumpamanya, tidak bermakan penuntut ilmu tidak boleh memilih mana yang terbaik bagi dirinya. Memang setiap orang diperingatkan agar berbicara pada yang tidak ia ketahui, namun diperingatkan jangan kita menghalang sesiapa untuk mendalami apa yang tidak ia ketahui supaya ia boleh diberikan kefahaman tentang sesuatu perkara. Kalaupun sebahagian penuntut ilmu tidaklah setaraf keilmuan seperti kita, tidak patut kita menghalang mereka hanya duduk di situ sahaja tanpa perlu berkembang dan meningkat naik.

Sudah menjadi adat kebiasaan mereka yang berkembang kefahamannya pasti ada beberapa perkara yang tidak sependapat dalam sesuatu perkara. Hal tersebut bukanlah bermakna mereka itu mahu menentang apa yang dibawa terdahulu atau membina sebuah mazhab sendiri atau tidak menghormati mereka yang 'alim atau mereka mahu mempamerkan kepandaian pada orang lain. Usah dibuat tuduhan lancang dan celupar, kerana kebencian, dengki dan penyakit kekotoran hati akibat taksub dan jumud hanya akan menjadikan seteru pada yang bukan haknya.

Memang ada sebahagian orang terus berpegang teguh dengan apa yang diusulkan oleh para 'alim dan tidak mahu menyalahi apa yang dibawa oleh mereka. Tidak salah dalam hal tersebut, kerana mungkin daripada mereka menghormati, merendah diri dan tidak mahu tergelincir dalam hal yang ia menyalahi. Cukup mendengar dan menerima sahaja daripada mereka. Tetapi sikap kita janganlah kita bermusuhan dengan orang lain yang ingin meneroka lebih dalam dan ingin membuat perbandingan serta memilih yang lebih kuat. Para 'alim tidaklah hanya seorang atau sekelompok sahaja, bahkan berterusan sepanjang zaman mereka yang ramai untuk diikuti dan diyakini. Daripada mereka petunjuk yang boleh membuka jalan kepada kebenaran. Usah bertelagah. Bagi yang menuntut ilmu dengan mendalam tidak perlu menyalahkan mereka yang terus bersama apa yang diikutinya kerana mereka juga mengikuti kepada mereka yang mempunyai sandaran dan pijakan. Raikanlah perbezaan daripada setiap kedua-dua belah pihak.

Berbalik pada di atas, apa yang saya ingin nyatakan di sini bahawa terdapat penambahan yang tidak perlu bagi saya untuk diusulkan dan dikemukakan. Hal tersebut akan menjadi sebuah perbahasan yang tidak bermanfaat, menimbulkan kecelaruan dan penambah salah faham terhadap sesuatu perkara. Pada hal ini, saya tidak mengira ia pada bab fiqh, tetapi mungkin pada hal seperti tauhid dan tasawwuf. Saya mendapati banyak penambahan yang tidak perlu pada perkara tersebut. Salah satu faktornya mungkin mahu menjelaskan supaya lebih lumat kefahamannya dan mengembangkan sesuatu idea tersebut. Namun, yang tidak perlu untuk diusulkan, tidak perlu untuk dimasukkan.

Contoh seperti bab pengkelasan sifat ma'ani, sifat salbiyyah, sifat nafsiyyah, sifat ma'nawiyyah, pecahan syariat, tarekat, hakikat dan makrifat, penambahan sifat Allah daripada tiga belas kepada dua puluh, konsep Nur Muhammad, martabat tujuh alam, martabat tujuh nafsu, martabat kewalian dan lain-lain. Ini antara perkara-perkara yang saya tidak dapat terima kerana mengandungi banyak penjelasan yang tidak penting dan keterangan yang tidak perlu ditambahkan lagi. Kadang ada yang lebih melampau seperti perbahasan amrun i'tibari adakah ia makhluk atau tidak, pentakwilan huruf seperti huruf pada kalimah Allah (الله), Muhammad (محمد), Ahmad (احمد), Adam (ادم) dan lain-lain. Ini semua saya kira tidak perlu adanya kerana hal tersebut hanya penambahan yang tidak perlu.

Malahan tidak hanya dalam bab tersebut mempunya penambahan yang tidak perlu. Saya sendiri pun mengambil subjek seperti Management, Marketing dan Human Resource pun banyak penerangan yang tidak perlu yang kadang hanya menambah beban dan kerumitan dalam sesuatu perkara. Contoh seperti langkah-langkah daripada satu perkara ke sesuatu perkara.

Terpulang pada masing-masing yang ingin terus membincangkan, merungkaikan dan membahaskannya lebih lanjut. Tetapi apabila ini dihadapkan pada saya, selalunya saya tidak melayani dan menganggapnya sebagai hujah kerana tidak terdapat sandaran dalil bagi menyokongnya. Hanya cuma andaian yang dibuat-buat. Walaupun saya berpegang dalam manhaj al-Asy'ariyyah dan mempunyai kecenderungan dalam merenangi falsafah kesufian, simbolik seni dan hakikat tentang sesuatu perkara, tetapi tidak bermakna saya membiarkan diri saya terlibat dan tergantung dengan pertambahan yang tidak perlu baik pada istilah mahupun keterangannya. Kalau didapati saya menggunakan perkara tersebut maka sama ada saya hanya cuma sekadar tampalan sahaja atau apabila hal tersebut diperlukan, tidak lebih dari itu sebagai hujah atau sandaran sokongan. Cukup mengambil yang perlu sahaja dan tidak perlu untuk mengambil sesuatu yang bukan keperluan. Apatah lagi yang tidak ada keperluan itu tidak mempunyai kemanfaatan, tidak mempunyai nas dan menimbulkan kecelaruan.

Wallahua'lam.



No comments:

Post a Comment