Thursday 13 November 2014

Tuhan Itu Zalim?

Pada suatu hari di hospital.....

Doktor : "Kamu menghidap kencing manis, kaki kamu terpaksa di potong untuk elakkan merebak penyakitnya. Maafkan kami yaa"

Pesakit : "Doktor tak sayangkan saya ke? Kalau potong kaki saya, camne kehidupan saya nanti, tak ada cara lain ke untuk ubati penyakit ini?"

Doktor : "Tak ada cara lain, ini sahaja yang ada, minta maaf yaa, kami terpaksa potong, kalau tak makin parah seluruh badan kamu"

Pesakit : "Doktor tidak sayang saya semua kah? Kasihanilah kami"

Doktor : "Bukan kami tidak sayang, ini sahaja caranya, terimalah, kami tak boleh bantu apa-apa selain ini"

Pesakit : "Saya keberatan sangat untuk menerima ini, tetapi kalau sudah ini keputusannya, maka tetap jualah saya melaluinya agar dapat kesembuhannya"



-Tamat-

Kadang kita keluhkan jika Tuhan itu bersikap penyayang, mengapa Tuhan tidak menyelamatkan kami daripada kecelakaan ini? Di mana Tuhan saat kami sengsara sebegini? Itulah yang diperkatakan saat tidak mampu menerima keperitan yang membadai. Kita berteriak memanggil penyelamat atau wira agar dapat keluar daripada kepompong ini, tetapi hanyalah jeritan sahaja yang dilaungkan tanpa sahutan daripada orang. Kita berharap segalanya baik kepada keajaiban ataupun berserah sepenuhnya kepada Tuhan agar menentukan yang terbaik. Namun, malang tidak kesampaian apa yang dihajati itu. Keterdesakannya tidak lagi berguna. Kenikmatan yang dikecapi merubah menjadi derita yang panjang. Warna yang indah menjadi corak kegelapan yang menghantui sepanjang hidup.

Kita cuba melepaskan apa yang takdir telah ditentukan dalam hidup kita agar kita tidak lagi merasakan kepayahan yang mendatang. Muak sudah ingin terus menghadapi bilasan pedang yang menghiris jiwa dan raga. Dengan harapan agar keadilan untuk kehidupannya dapat diterapkan dan dinikmati sepanjang hayat. Kerana itulah ia sanggup menolak arus kehidupan untuk mengikut apa yang ia yakinkan agar kebahagiaan yang diimpikan tercapai mendapat pautan.



Tetapi benarkah begitu? Apakah dengan menolaknya secara mutlak dapat merubah apa yang kita lalui kehidupan sepanjang hari-harian? Adakah dengan menafikannya keadilan dapat ditegakkan? Seribu kali sayang, mungkin sahaja dapat kita melegari alam yang luas tetapi hukum alam tetap berjalan sepertimana sedia ada ketetapan untuknya. Inilah sebabnya ketenangan tidak dikecapi kerana prinsip sistem alam yang telah didirikan ini tidak dapat difahami, dicakna dan dihadam sebaik-baiknya.

Terfikirkah kita dialog di atas, apakah doktor itu bersikap zalim ke atas pesakit yang sakit? Apakah sengaja doktor menyakiti pesakit agar mereka terus disakiti? Mengapa dan mengapa? Satu-satunya ubat penyakit adalah dengan sakit. Jika dibiarkan ia terus meracuni sama ada secara pantas atau perlahan-lahan yang membuahkan sengsara lebih pedih lagi. Memanglah mereka dapat kelegaan melepaskan sumpah seranah dan ammarah ke atas doktor, tetapi tidakkah mereka tahu bahawa di hati mereka sebak dan bimbang serta luka di jiwa memikirkan pesakit yang mengharapkan kesembuhan. Apakah hanya kamu sahaja yang bimbang atau hanya kamu seorang sahaja yang mengharapkan kebahagiaan?

Janganlah kerana sesuatu yang tidak berpihak pada kita, lalu terus kita mengatakan ia suatu kezaliman. Ini tidak adil! Kalau begitu, sesiapa pun tidak akan terjatuh ketika memanjat pokok. Tetapi, mengapa ada sahaja yang terjatuh ketika memanjat pokok? Takdir atau salah mereka? Siapa menyalahkan siapa dan siapa yang disalahkan siapa?

Pabila memerhatikan semula keseimbangan semulajadi yang ditetapkan akan Tuhan semesta alam, barulah dapat menghayati keindahan tajjali ilmu-Nya yang agung. Cuba bayangkan, jika semua ingin jadi pembekal siapa pula yang mahu jadi pembeli? Jika tiada jenayah, apakah peranan polis untuk mengekalkan keamanan negara? Jika tiada kesusahan untuk dilalui dalam kehidupan, apakah ertinya kesenangan yang dikecapi? Jika tiada nilai kebaikan, apakah dapat difahami tentang keburukan? Jika lenyapnya cahaya yang benderang, apakah lagi yang dapat menerangkan tentang kegelapan?

Sistem konsep perlawanan yang bertembung inilah menghasilkan sebuah karya agung yang terindah. Kewujudan entitas inilah yang mengajarkan manusia tentang sesuatu dalam banyak perkara. Dan tanpanya, tidak berertilah akan sesuatu itu. Barulah nilai kefahaman, penghayatan, kehidupan dan pengamalannya setiap masa menjadi teratur dalam sistem alam yang telah diterapkan. Dan tidak semuanya dapat dihadam secara menyeluruh dan mudah serta memahaminya tidak mampu untuk ditembusi. Atas sebab itulah manusia tunduk dan rendah diri agar tidak sombong dalam pendapatan yang banyak kerana lemahnya kita adalah selemah-lemahnya. Terzahirnya ketidaktahuan adalah membuktikan terbatasnya kemampuan manusia. Jika tidak, maka tidak wujudlah yang lemah dan yang kuat, yang pandai dan yang bodoh, kerana itulah apa yang ada dalam bakat-bakat pada masing-masing diri manusia.

Usah tertipu dengan pandangan mata yang memandang bahawa apa yang dilihat itulah pengakhiran bagi sesuatu. Lihatlah angkasa itu, apakah ia berpenghujung? Lihatlah laut itu, di mana tepiannya? Jika ada penghujungnya, tepiannya dan penamatnya mengapa tidak mampu mencapai ke sana? Kerana sebab itulah misteri yang terpancar ini menjadikan keunikan dalam merasai keagungan dunia yang luas untuk diteroka, bukan penjara yang terhimpit dalam belenggu kesempitan.

Tuhan tidak zalim, mengharamkan akan Dia pada kezaliman pada-Nya. Sebagai pesakit mungkin kita tidak tahu apakah doktor yang dapat tentukan ke atas kita agar penyakit ini dapat sembuh, tetapi berserah sepenuhnya terhadap doktor kerana doktor lebih tahu apa yang terbaik untuknya. Tetapi Allah jauh lebih daripada sekalian doktor. Dia Maha Agung, Maha Hebat dan Maha Besar. Bagaimana lagi untuk diragukan sedangkan telah jelas segala-galanya tentang diri-Nya agar kita menikmati kehidupan yang damai dan abadi? Inilah dia kebenaran sejati, kebenaran hakiki dan kebenaran mutlak. Kenallah akan Dia agar kau bahagia dalam kasih sayang-Nya yang terindah.

Jangan dipungkiri akan takdir yang telah ditentukan ke atas diri kita. Tidaklah zalim akan-Nya melainkan kita tidak memahami sepenuhnya terhadap apa yang dizahirkan. Menolaknya umpama seperti keluar daripada mulut buaya dan masuk ke mulut naga. Fahamilah... agar tenteram jiwa yang memberontak.

http://marzukamartillo.blogspot.com/2014/07/tuhan-itu-zalim.html

No comments:

Post a Comment