Thursday 13 November 2014

Jangan Berlebihan Dan Melampau Dalam Perkara Simbolik.

Sebahagian pelampau agama berlebihan dalam bab simbolik sehingga mendahulukan falsafah dan logika daripada nas-nas al-Quran dan as-Sunnah serta melampaui dalam perkara-perkara simbolik sehingga menanggalkan pensyariatan dan melepaskan amal serta taklif daripada mereka. Ini adalah perbuatan bid'ah sesat yang tercela sekali gus mencemarkan kemurniaan Islam yang menekankan soal amal dan kefahaman yang sebenar terhadap sesuatu perkara. Mereka yang melampau-lampau dalam perkara ini adalah orang yang banyak berkhayal dalam sesuatu perkara dan mencari-cari takwil yang memenuhi selera mereka demi membuat pemahaman menyeleweng yang terkeluar daripada usul dan furu' Islam.

Contohnya mereka memahami solat dan haji begitu begini sehinggakan pelbagai tafsiran yang dikeluarkan, lalu membuat kesimpulan melulu untuk tidak lagi melaksanakan solat dan haji kerana kefahaman simbolik yang dikatakan penuh majaz dan kiasan. Atau contoh yang lain mereka menambah-nambah sesuatu penjelasan yang tidak perlu dan tidak bermanfaat sehingga menjadikan ia sebagai suatu kepercayaan dan pegangan yang tidak berasas lantas menjadikan ia sebagai hujah dalam penentuan sesuatu kebenaran mutlak dengan tafsirannya yang menyeleweng.

Sesungguhnya kaum Muslimin berlepas diri daripada semua perkara tersebut. Kita bukanlah berpihak pada mereka yang terlalu menyempitkan sesuatu skop sehingga hanya menjadi berpegang pada literal dan zahir terhadap sesuatu semata-mata dan kita bukan juga menyokong mereka yang melampau dalam meluaskan skop sehingga melanggar batasan-batasan yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ada sebahagian perkara ia boleh difahami dengan zahir dan mesti difahami dengan zahir. Ada sebahagian perkara ia boleh difahami dengan majaz dan mesti difahami dengan majaz. Sepertimana kita menerima di dalam al-Quran dan as-Sunnah ada yang muhkamat dan mutasyabihat, seperti itulah kita terima hakikatnya.

Dalam perkara zahir kadangkala ada simbolik, rahsia dan hikmah padanya yang mungkin boleh diteroka. Contohnya seperti pensyariatan zakat mampu menjana ekonomi umat Islam dan menghapuskan sikap kikir, bakhil dan tamak dalam harta. Dan ada juga yang tidak diketahui simbolik, rahsia dan hikmah padanya seperti mengapa solat Subuh dilaksanakan dua rakaat, kitaran tawaf sebanyak tujuh kali dan sebagainya. Walaupun ada beberapa tafsiran mengenainya, namun itu tidak bermakna menjadi sebagai pegangan yang mesti difahami secara begitu. Andaian-andaian ini cumalah pandangan yang tidak terbukti benar dan mungkin terdedah dengan kesilapan. Namun apa pun, apabila ada sesuatu perkara zahir itu mesti difahami dengan zahir, maka berpegang sahaja pada zahir tersebut.

Sesuatu perkara tersebut mestilah difahami pada zahirnya secara asalnya melainkan jika ada qarinah yang memalingkan ia kepada makna majaz. Begitulah sepertimana yang dibentangkan dalam kaedah Usul Fiqh. Wujud perkara majaz, maknawi, simbolik, kiasan atau apa sahaja seumpamanya tidak bermakna sesuatu perkara itu boleh diterangkan secara panjang lebar dan penerokaan yang dalam kerana hal tersebut membawa akibat penyelewengan dan kesesatan dalam agama. Masing-masing ada pembatasan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Bukanlah menghalang untuk menterlibatkan dalam gelanggang falsafah, tetapi hendaklah dikawal dan diselia supaya apa yang diperoleh dan dicapai itu bersesuaian dengan pijakan usul dan furu' Islam. Dalam setiap perkara yang berhubung kait dengan agama hendaklah al-Quran dan as-Sunnah itu menjadi teras utama dalam menjadikan kunci permulaan dan titik pengakhiran bagi sesuatu perkara. Mana-mana yang bertentangan dengan kedua-dua perkara tersebut hendaklah ditolak. Perkara-perkara simbolik kadang huraiannya sangat panjang dan perlu adanya keterlibatan dalam falsafah untuk difahamkan tentang perkara simbolik tersebut.

Namun, apa yang terjadi pada sekarang ini telah terjadi sebahagian orang yang berlebihan dalam perkara simbolik sehingga perkara-perkara zahir menjadi kefahaman secara batin atau maknawi. Kemudian terus meluncur jauh dengan falsafah-falsafah yang menghasilkan istilah-istilah dan pentafsiran berdasarkan penambahan yang tidak perlu. Lebih melampau lagi kefahaman tersebut menjadi pegangan sehingga meninggalkan terus amalan-amalan yang diberatkan ke atasnya untuk dilaksanakan dengan alasan ia telah menemui puncak destinasinya di mana ia tidak perlu lagi melaksanakannya lagi dan seumpamanya. Dengan pula bahasa kononnya yang kaya dengan ketinggian serta ilmu yang bukan sebarangan orang dapat dicapai menjadikan perisai-perisai palsu untuk menutup kebathilan yang dianut dan dibawa olehnya. Kejelekan ini sangatlah buruk seperimana buruknya bunyi himar yang mendengus.

Sesungguhnya inilah suatu kesesatan yang nyata dan tersembunyi yang perlu dijauhi oleh umat agar agama ini tidak dirobekkan. Dan inilah cabaran masa kini yang memerlukan ketelusan, kegigihan dan kesungguhan bagi memastikan apa yang difahami itu boleh diukur dengan sebenar-benar kebenaran yang terulung. Semoga kita semua menjadi hamba Allah SWT yang dikurniakan ilmu yang bermanfaat, kefaqihan yang dalam serta amal yang membawa kebaikan di dunia dan di akhirat.

Contoh golongan yang sesat sepertimana yang dikhabarkan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dalam kitabnya Sirrul Asrar :

Kaum Hululiyah, iaitu para penganut fahaman inkarnasi yang menyatakan bahawa halal hukumnya memandang paras yang menawan, baik lelaki mahupun perempuan, baik isteri, suami, anak ataupun saudara orang lain. Mereka bercampur baur dan menari bersama. Tentulah perilaku dan pandangan mereka bertentangan dengan ajaran dan hukum Islam yang mementingkan kemuliaan dan kehormatan.

Kaum Hululiyyah ini menyanyi, menari, menjerit dan bertepuk tangan agar dimasuki roh. Mereka meyakini bahawa syeikh mereka telah meraih peringkat rohani tertinggi sehingga berada di luar jangkauan hukum agama. Tentu saja perilaku mereka itu sama sekali jauh dengan perikalu para kekasih Allah yang sangat memerhatikan dan memuliakan hukum agama.

Kaum Awla'iyyah yang mengaku dekat kepada Allah dan meyakini bahawa jika seorang hamba mendekatkan diri kepada Allah, ia terlepas dari semua bentuk kewajipan. Bahkan, mereka mengaku sebagai wali, sahabat Allah dan orang yang dekat kepada-Nya sehingga kedudukan mereka lebih luhur daripada seorang Nabi. Menurut mereka, Rasulullah diberi ilmu melalui Jibril AS, sedangkan seorang wali mendapatkannya terus daripada Allah. Mereka ini benar-benar telah melakukan dosa besar kerana berkeyakinan seperti itu. Mereka telah menjerumuskan diri sendiri ke dalam kemurtadan dan kekufuran.

Kaum Syamuraniyah, yang menyatakan bahawa kata itu kekal dan orang yang mengucapkan kata yang kekal itu tidak terikat oleh kewajipan agama; mereka tidak kenal hukum halal haram. Dalam beribadah, mereka menggunakan alat muzik. Mereka tidak memisahkan kaum lelaki dari kaum wanita, kerana bagi mereka, tidak ada perbezaan antara keduanya. Ketahuilah, mereka hanyalah sekumpulan kafir yang sesat.

Kaum Hubiyyah, yang mengatakan bahawa manusia telah mencapai maqam cinta (Hubb) terbebas daripada semua kewajipan agama. Salah satu kesesatan mereka adalah bahawa mereka tidak menutup aurat.

Kaum Hurriyyah yang sebagaimana kaum Haliyyah, berteriak, bernyanyi dan bertepuk tangan untuk mencapai keadaan ekstatik. Dalam keadaan tidak sedar itu mereka mengaku telah bersenggama dengan para bidadari; ketika sedar kembali, merekapun mandi wajib. Mereka disesatkan oleh dusta mereka sendiri.

Kaum Ibahiyyah yang menolak menganjukan kebaikan dan enggan melarang kebaikan. Sebaliknya, mereka menghalalkan segala yang haram. Di antaranya, mereka berkeyakinan bahawa semua perempuan halal bagi kaum lelaki.

Kaum al-Mutakasiliyah atau orang-orang yang malas (kasl). Sebagai mata pencarian, mereka mengemis dari pintu ke pintu. Menurut mereka, itulah cara yang baik untuk meninggalkan keduniaan. Padahal, perilaku itu menggambarkan sifat dasar mereka yang malas.

Kaum Mutajahiliyah, yang berpura-pura bodoh dan sengaja mengenakan pakaian mewah meniru perilaku kaum kafir, padahal Allah berfirman, "Janganlah kamu condong kepada orang-orang kafir.." (Surah Hud ayat 11). Rasulullah SAw, "Barangsiapa sengaja menyerupai suatu kaum, ia termasuk ke dalamnya".

Kaum Wafiqiyah, yang menyatakan bahawa Allah yang mampu mengenal Allah. Oleh itu, mereka enggan mencari jalan kebenaran. Mereka membiarkan dibawa kebodohan mereka sendiri ke jurang kebinasaan.

Kaum Ilhamiyyah, yang menyandarkan ilham, mengabaikan ilmu, melarang belajar dan menyatakan bahawa al-Quran merupakan tabir bagi mereka dan bahawa renungan puisi adalah al-Quran mereka. Mereka meninggalkan al-Quran dan solat. Mereka hanya mengajarkan syair kepada anak-anak mereka. 

No comments:

Post a Comment