Thursday 13 November 2014

Penjelasan Tentang "Kalau Bukan Kerana Muhammad, Nescaya Tidak Terciptanya Alam Ini"

Nabi SAW diciptakan sebagaimana manusia lain juga diciptakan dan tidak ada seorang pun dari kalangan manusia yang diciptakan daripada cahaya. Bahkan sabit dalam al-Sahih daripada Nabi SAW, baginda bersabda, "Sesungguhnya Allah mencipta para malaikat dengan cahaya dan menciptakan Iblis daripada api. Dia mencipta Adam dari apa yang disifatkan kepada kamu".

Kelebihan makhluk sebenarnya tidak bergantung kepada bahan dari mana dia diciptakan sahaja, bahkan kadang-kadang orang Mukmin dilahirkan daripada orang kafir dan orang kafir dilahirkan daripada orang mukmin seperti anak Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim dari ayahnya Azar dan Adam daripada tanah. Setelahmana sempurna penciptaannya, ditiupkan roh ke dalam badannya dan diperintahkan para malaikat sujud kepadanya. Kemudian dilebihkan Adam daripada makhluk-makhluk yang lain dengan cara Allah mengajarkan kepadanya nama-nama segala sesuatu. Allah SWT menciptakan Adam daripada dua tangan-Nya dan dengan lain-lain. Adam dan zuriat keturunannya yang salih adalah lebih utama daripada berbanding malaikat, walaupun makhluk manusia itu diciptakan daripada tanah dan malaikat itu diciptakan dari cahaya.

Masalah ini sebenarnya masalah yang besar dan bukan di sini tempat yang sesuai untuk membahaskannya. Kelebihan anak Adam dengan sebab yang panjang kalau diulas di sini. Kelebihan mereka terserlah apabila memasuki negara tempat yang kekal abadi. Firman Allah SWT :

"Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu" (Surah ar-Ra'd ayat 24).

Anak Adam diciptakan daripada setitis air mani. Kemudian menjadi segumpal darah, kemudian menjadi daging yang melekat kepada rahim. Kemudian berpindah daripada bayi yang kecil menjadi remaja. Kemudian berpindah lagi dari sebuah negara ke negara lain. Di peringkat awal keadaannya, belum nyata kelebihannya. Kelebihannya zahir ketika berada pada keadaannya yang sempurna. Berlainan dengan raja yang keadaannya di peringkat awal dan juga diperingkat akhir adalah sama. Dari sini apabila orang yang melebihkan malaikat berbanding para Nabi, sikap ini diambil kerana melihat kepada keadaan para Nabi itu. Mereka sebenarnya berada di tengah-tengah keadaan manusia, sebelum mereka menikmati kemuncak kesempurnaan yang dijanjikan kepada mereka di negera akhirat.

Kelebihan Nabi kita SAW mengatasi kelebihan malaikat pada malam al-Mi'raj, sehingga ke tahap mendengar coretan al-Qalam dan baginda berada tinggi mengatasi kedudukan malaikat. Dengan kebesaran dan qudrat keajaiban hikmah-Nya. Allah SWT menzahirkan kedudukan sebenar orang-orang salih dari kalangan para nabi dan juga para wali, yang tidak dapat dicapai oleh para malaikat. Allah SWT mencipta elemen-elemen yang menjadikan manusia dari berbagai-bagai bahan. Badannya dicipta daripada bumi. Rohnya daripada alam tinggi. Kerana itu manusia juga disebut sebagai alam kecil iaitu sebagai satu gambaran kepada alam yang lebih besar.

Muhammad SAW bukan sahaja penghulu anak Adam, bahkan juga seafdal-afdal dan semulia-mulia makhluk. Dari sini timbulnya kenyataan sesetengah orang iaitu Allah SWT menciptakan alam kerana baginda. Atau kalau tidaklah kerana baginda, nescaya Allah SWT tidak akan menciptakan arasy, kursi, langit, bumi, matahari dan juga bulan. Walau bagaimanapun, kenyataan ini bukanlah hadis yang diperolehi sumbernya daripada Nabi SAW, malah bukan juga hadis sahih dan bukan juga hasan. Malah tidak pernah dinakalkana daripada mana-mana ahli ilmu yang pakar tentang hadis dan juga sahabat. Ia hanya ucapan yang tidak diketahui siapa penuturnya yang sebenar. Mungkin boleh ditafsirkan dalam bentuk yang betul sepertimana yang terdapat di dalam firman Allah SWT :

"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang pertunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran". (Surah Luqman ayat 20).

"Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu" (Surah Ibrahim ayat 33).

Dan lain-lain ayat yang menjelaskan Allah SWT menciptakan makhluk-makhluk di alam ini adalah untuk kegunaan anak Adam. Sebagaimana yang dimaklumi, Allah SWT mempunyai hikmah yang besar yang lain selain dari yang disebutkan di atas. Malah lebih besar daripada itu. Tetapi Allah SWT menjelaskan kepada anak Adam, tentang manfaat yang terkandung di dalamnya dan nikmat yang dilimpahkan ke atasnya.

Jika ada orang mengatakan, Allah SWT melakukan perkara ini dan ini, tidak semestinya tidak ada terdapat hikmah yang lain di dalam perkara yang dilakukan-Nya itu. Begitu juga dengan kata-kata sesetengah orang. Jika tidaklah perkara ini, nescaya tidaklah Allah SWT menciptakan perkara ini, tidak bermakna tidak terdapat hikmah besar yang lain di sebaliknya, bahkan ia menunjukkan oleh kerana anak cucu Adam AS yang paling salih ialah Nabi Muhammad, penciptaannya pula adalah kemuncak yang dituntut dan mengandungi hikmah yang besar yang mengatasi maksud yang lebih besar dari yang lainnya, maka makhluk yang berada di kemuncak kesempurnaan hanya berlaku pada diri Muhammad SAW sahaja.

Allah SWT menciptakan langit dan bumi dan segala kandungannya selama enam hari. Hari penciptaan yang terakhir ialah hari Jumaat. Pada hari Jumaat inilah diciptakan Nabi Adam AS dan dia adalah makhluk yang paling akhir sekali diciptakan. Baginda diciptakan pada hari Jumaat selepas Asar. Penghulu segala anak Adam ialah Muhammad SAW. Nabi Adam AS dan orang-orang yang lebih tinggi darjat daripada baginda (Nabi Adam AS), berada di bawah panji-panji Muhammad SAW pada hari kiamat kelak.

Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya aku sudah pun tertulis di sisi Allah sebagai penutup para nabi, ketikamana Adam AS masih lagi berada di dalam bentuk tanahnya" (Dikeluarkan oleh Ahmad 4/127 dan 128).

Hadis ini menjelaskan kenabian Muhammad SAW telah pun ditentukan semenjak dahulu lagi dan kenabian tersebut dizahirkan apabila Allah SWT menciptakan Adam sebelum meniupkan roh kepadanya, sebagaimana Allah SWT menuliskan rezeki, ajal maut dan amalan seseorang. Begitu juga adakah dia seorang celaka atau seorang yang bahagia, ketikamana Dia menciptakan janin sebelum ditiupkan roh ke dalam badannya.

Manusia yang menjadi penutup segala makhluk, pengakhir dan pengumpul segala apa yang terdapat pada makhluk itu, malah yang lebih sekali, berbanding makhluk-makhluk yang lain Muhammad dan Muhammadlah yang mempunyai segala kelebihan ini. Bahagian-bahagian himpunan ini seolah-olah merupakan matlamat segala matlamat yang terdapat pada makhluk. Sehubungan dengan itu, adalah sesuatu yang tidak wajar ditolak kerana Muhammadlah diciptakan segala yang lainnya dan kalau tidak kerana baginda, perkara-perkara yang lain itu tidak akan diciptakan. Apabila ucapan ini dan ucapan yang seumpama dengannya ditafsirkan seumpama ini disokong oleh al-Kitab dan al-Sunnah, pentafsiran tersebut boleh diterima.

Tetapi jika perkara tersebut berlaku dalam bentuk melampau, sebagaimana melampau yang berlaku kepada orang-orang kristian yang mensyirikkan sesetengah makhluk dalam perkara yang bersangkutan dengan rububiyyah, perbuatan tersebut ditolak dan tidak boleh diterima. Sabit secara sahih daripada Nabi SAW baginda bersabda, "Janganlah kamu menyanjung aku sebagaimana orang-orang kristian menyanjung Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba, katakanlah (Muhammad itu hanyalah) hamba Allah dan Rasul-Nya" (Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam al-Anbiya' ayat 48, al-Darimi di dalam al-Raqaq dan Ahmad 1/23, 24, 47 dan 55).

Firman Allah SWT :

"Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar sesungguhnya Al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah! Supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal" (Surah an-Nisa' ayat 171).

Allah SWT memperuntukkan kepada zat-Nya sendiri hak yang tidak boleh disekutu oleh makhluk. Ibadah tidak boleh dilakukan melainkan kepada-Nya. Begitu juga dengan berdoa, bertawakkal, melahirkan rasa gembira dan juga gerun, hanya perlu diberikan kepada-Nya sahaja. Tidak ada tempat menggantung harapan dan tempat yang menyelamatkan selain dari-Nya. Tidak ada yang membawa kebaikan dan menolak keburukan melainkan Dia. Malah tidak ada kekuatan, daya dan juga usaha melainkan dengan-Nya.

Firman Allah SWT :

"Dan tidak berfaedah syafa`at di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?" Sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan kebenaran" dan Dialah jua Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar kekuasaanNya" (Surah Saba' ayat 23).

"Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan. Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafa`at disisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki. Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar" (Surah al-Baqarah ayat 255).

"Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada Ar-Rahmaan, sebagai hamba. Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka serta menghitung mereka satu persatu. Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri" (Surah Maryat 93-95).

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, dan takut melanggar perintah Allah, serta menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan" (Surah an-Nur ayat 52).

Allah SWT menjadikan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, manakala ketakutan dan ketakwaan hanya kepada Allah SWT semata-mata.

"Dan kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: "Cukuplah Allah bagi kami Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah" (Surah at-Taubah ayat 59).

Pemberian wala' hanya untuk Allah SWT dan Rasul-Nya, tetapi tawakkal dan juga kesukaan hanya kepada Allah SWT semata-mata.

(Fiqh Tasawwuf, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, terjemahan Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari, bab al-Futuwwah, fasal Penciptaan Nabi SAW, m/s 85-91, terbitan Perniagaan Jahabersa)
   

No comments:

Post a Comment