Thursday 13 November 2014

Dalil Keakuan

فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ قَتَلَهُمْ ۚ وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ رَمَىٰ ۚ وَلِيُبْلِيَ الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلَاءً حَسَنًا ۚإِنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

"Maka bukanlah engkau yang membunuh mereka, akan tetapi Allah yang membunuh mereka. Dan bukanlah engkauy ang melontar ketika engkau melimpar, akan tetapi Allah jualah yang melontar dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik daripadaNya. Sesungguhnya Allah amat Mendengar, lagi amat Mengetahui" (Surah al-Anfal ayat 17).

إنَّ الله تَعالَى قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيّاً فَقَدْ آذنتُهُ بالحربِ وما تَقَرَّب إليَّ عَبْدِي بشيءٍ أحَبَّ إليَّ مِمَّا افترضتُ عَليهِ ولا يَزالُ عَبْدِي يَتَقرَّبُ إليَّ بالنَّوافِلِ حتَّى أُحِبَّهُ فإذا أَحْبَبْتُهُ كُنتُ سَمعَهُ الّذي يَسمَعُ بهِ وبَصَرَهُ الّذي يُبْصِرُ بهِ ويَدَهُ الَّتي يَبطُشُ بها ورِجْلَهُ الّتي يَمشي بِها ولَئِنْ سأَلنِي لأُعطِيَنَّهُ ولَئِنْ استَعاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ (رواه البخاري، رقم 6137 )

"Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman, 'Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka aku umumkan peperangan terhadapnya. Tidak ada ibadah yang paling Aku cinta dari seorang hamba kecuali ibadah yang telah Aku wajibkan kepadanya. Seorang hamba yang selalu beribadah kepadaku dengan perkara-perkara sunah, niscaya Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengaran yang dengannya dia mendengar, Aku adalah penglihatan yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memukul, kakinya yang dengannya dia berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku, niscaya akan Aku berikan. Jika dia mohon perlindungan kepadaku, niscaya akan Aku lindungi." (HR. Bukhari, no. 6137).

Hal tersebut bukan bermaksud Allah itu bersatu dengan manusia secara hakikinya atau zat Allah itu melebur ke dalam rupa manusia atau menyerap masuk ke dalam manusia atau apa-apa yang membawa keyakinan hulul dan iitihad. Atau juga manusia lebih menjadi Allah atau anggota diri manusia itu telah berubah menjadi anggota Allah. Dan hadis ini menjadi salah faham kepada golongan wahdatul wujud yang melulu terus menyandarkan "aku" itu kepada Allah. Ini adalah salah satu kesimpulan yang menyeleweng dan terburu-buru.

Letakkan keakuan yang sebenar itu pada sebenar-benar tempat dan fahamilah secara tahkik supaya penyerahan itu benar dan tindakan juga adalah benar. Agar tidak bertindihnya Khaliq dan makhluk, maka kita boleh katakan perkara tersebut adalah kebersamaan Allah dalam setiap hal yang semestinya perkara amalan kebaikan dan perlaksanaan perintah yang Allah tetapkan, bukan pada benda dosa dan maksiat. Jika pada perkara dosa dan maksiat, maka syaitanlah yang menjadi qarin baginya.

Namun, apabila ingin diletakkan keakuan itu, biarlah pada tempat yang sebenar. Menyandarkan terus kepada Allah adalah salah satu kebodohan dari tergesa-gesa dan terburu-buru kerana Allah tidak sama dengan makhluk dan menyalahi apa pun segala sesuatu. Perletakan pada selain-Nya merupakan kesyirikan kerana tidak mungkin sesuatu itu berdiri sendiri tanpa kekuasaan dan qudrah daripada-Nya. Maka, matahari bukan cahaya dan cahaya bukan matahari, namun kedua-duanya tidak lain daripada antara satu sama lain, ia tidak bercantum dan tidaklah berpisah. Matahari menyatakan dirinya melalui cahaya dan cahaya menzahirkan matahari tersebut. Pandanglah dengan teliti supaya tidak tersilap dalam penyerahan dan supaya pegangan itu benar. 

Semoga Allah merahmati kita semua dan menjadi akan kita seorang hamba yang sentiasa dikasihi dan diredhai-Nya.

No comments:

Post a Comment