Thursday, 13 November 2014

Tuhan Itu Zalim?

Pada suatu hari di hospital.....

Doktor : "Kamu menghidap kencing manis, kaki kamu terpaksa di potong untuk elakkan merebak penyakitnya. Maafkan kami yaa"

Pesakit : "Doktor tak sayangkan saya ke? Kalau potong kaki saya, camne kehidupan saya nanti, tak ada cara lain ke untuk ubati penyakit ini?"

Doktor : "Tak ada cara lain, ini sahaja yang ada, minta maaf yaa, kami terpaksa potong, kalau tak makin parah seluruh badan kamu"

Pesakit : "Doktor tidak sayang saya semua kah? Kasihanilah kami"

Doktor : "Bukan kami tidak sayang, ini sahaja caranya, terimalah, kami tak boleh bantu apa-apa selain ini"

Pesakit : "Saya keberatan sangat untuk menerima ini, tetapi kalau sudah ini keputusannya, maka tetap jualah saya melaluinya agar dapat kesembuhannya"



-Tamat-

Kadang kita keluhkan jika Tuhan itu bersikap penyayang, mengapa Tuhan tidak menyelamatkan kami daripada kecelakaan ini? Di mana Tuhan saat kami sengsara sebegini? Itulah yang diperkatakan saat tidak mampu menerima keperitan yang membadai. Kita berteriak memanggil penyelamat atau wira agar dapat keluar daripada kepompong ini, tetapi hanyalah jeritan sahaja yang dilaungkan tanpa sahutan daripada orang. Kita berharap segalanya baik kepada keajaiban ataupun berserah sepenuhnya kepada Tuhan agar menentukan yang terbaik. Namun, malang tidak kesampaian apa yang dihajati itu. Keterdesakannya tidak lagi berguna. Kenikmatan yang dikecapi merubah menjadi derita yang panjang. Warna yang indah menjadi corak kegelapan yang menghantui sepanjang hidup.

Kita cuba melepaskan apa yang takdir telah ditentukan dalam hidup kita agar kita tidak lagi merasakan kepayahan yang mendatang. Muak sudah ingin terus menghadapi bilasan pedang yang menghiris jiwa dan raga. Dengan harapan agar keadilan untuk kehidupannya dapat diterapkan dan dinikmati sepanjang hayat. Kerana itulah ia sanggup menolak arus kehidupan untuk mengikut apa yang ia yakinkan agar kebahagiaan yang diimpikan tercapai mendapat pautan.



Tetapi benarkah begitu? Apakah dengan menolaknya secara mutlak dapat merubah apa yang kita lalui kehidupan sepanjang hari-harian? Adakah dengan menafikannya keadilan dapat ditegakkan? Seribu kali sayang, mungkin sahaja dapat kita melegari alam yang luas tetapi hukum alam tetap berjalan sepertimana sedia ada ketetapan untuknya. Inilah sebabnya ketenangan tidak dikecapi kerana prinsip sistem alam yang telah didirikan ini tidak dapat difahami, dicakna dan dihadam sebaik-baiknya.

Terfikirkah kita dialog di atas, apakah doktor itu bersikap zalim ke atas pesakit yang sakit? Apakah sengaja doktor menyakiti pesakit agar mereka terus disakiti? Mengapa dan mengapa? Satu-satunya ubat penyakit adalah dengan sakit. Jika dibiarkan ia terus meracuni sama ada secara pantas atau perlahan-lahan yang membuahkan sengsara lebih pedih lagi. Memanglah mereka dapat kelegaan melepaskan sumpah seranah dan ammarah ke atas doktor, tetapi tidakkah mereka tahu bahawa di hati mereka sebak dan bimbang serta luka di jiwa memikirkan pesakit yang mengharapkan kesembuhan. Apakah hanya kamu sahaja yang bimbang atau hanya kamu seorang sahaja yang mengharapkan kebahagiaan?

Janganlah kerana sesuatu yang tidak berpihak pada kita, lalu terus kita mengatakan ia suatu kezaliman. Ini tidak adil! Kalau begitu, sesiapa pun tidak akan terjatuh ketika memanjat pokok. Tetapi, mengapa ada sahaja yang terjatuh ketika memanjat pokok? Takdir atau salah mereka? Siapa menyalahkan siapa dan siapa yang disalahkan siapa?

Pabila memerhatikan semula keseimbangan semulajadi yang ditetapkan akan Tuhan semesta alam, barulah dapat menghayati keindahan tajjali ilmu-Nya yang agung. Cuba bayangkan, jika semua ingin jadi pembekal siapa pula yang mahu jadi pembeli? Jika tiada jenayah, apakah peranan polis untuk mengekalkan keamanan negara? Jika tiada kesusahan untuk dilalui dalam kehidupan, apakah ertinya kesenangan yang dikecapi? Jika tiada nilai kebaikan, apakah dapat difahami tentang keburukan? Jika lenyapnya cahaya yang benderang, apakah lagi yang dapat menerangkan tentang kegelapan?

Sistem konsep perlawanan yang bertembung inilah menghasilkan sebuah karya agung yang terindah. Kewujudan entitas inilah yang mengajarkan manusia tentang sesuatu dalam banyak perkara. Dan tanpanya, tidak berertilah akan sesuatu itu. Barulah nilai kefahaman, penghayatan, kehidupan dan pengamalannya setiap masa menjadi teratur dalam sistem alam yang telah diterapkan. Dan tidak semuanya dapat dihadam secara menyeluruh dan mudah serta memahaminya tidak mampu untuk ditembusi. Atas sebab itulah manusia tunduk dan rendah diri agar tidak sombong dalam pendapatan yang banyak kerana lemahnya kita adalah selemah-lemahnya. Terzahirnya ketidaktahuan adalah membuktikan terbatasnya kemampuan manusia. Jika tidak, maka tidak wujudlah yang lemah dan yang kuat, yang pandai dan yang bodoh, kerana itulah apa yang ada dalam bakat-bakat pada masing-masing diri manusia.

Usah tertipu dengan pandangan mata yang memandang bahawa apa yang dilihat itulah pengakhiran bagi sesuatu. Lihatlah angkasa itu, apakah ia berpenghujung? Lihatlah laut itu, di mana tepiannya? Jika ada penghujungnya, tepiannya dan penamatnya mengapa tidak mampu mencapai ke sana? Kerana sebab itulah misteri yang terpancar ini menjadikan keunikan dalam merasai keagungan dunia yang luas untuk diteroka, bukan penjara yang terhimpit dalam belenggu kesempitan.

Tuhan tidak zalim, mengharamkan akan Dia pada kezaliman pada-Nya. Sebagai pesakit mungkin kita tidak tahu apakah doktor yang dapat tentukan ke atas kita agar penyakit ini dapat sembuh, tetapi berserah sepenuhnya terhadap doktor kerana doktor lebih tahu apa yang terbaik untuknya. Tetapi Allah jauh lebih daripada sekalian doktor. Dia Maha Agung, Maha Hebat dan Maha Besar. Bagaimana lagi untuk diragukan sedangkan telah jelas segala-galanya tentang diri-Nya agar kita menikmati kehidupan yang damai dan abadi? Inilah dia kebenaran sejati, kebenaran hakiki dan kebenaran mutlak. Kenallah akan Dia agar kau bahagia dalam kasih sayang-Nya yang terindah.

Jangan dipungkiri akan takdir yang telah ditentukan ke atas diri kita. Tidaklah zalim akan-Nya melainkan kita tidak memahami sepenuhnya terhadap apa yang dizahirkan. Menolaknya umpama seperti keluar daripada mulut buaya dan masuk ke mulut naga. Fahamilah... agar tenteram jiwa yang memberontak.

http://marzukamartillo.blogspot.com/2014/07/tuhan-itu-zalim.html

Beza Musyahadah dan Mukasyafah

Soalan : Apakah yg dimaksud mukasyafah dan musyahadah? Apakah benar seseorang bisa melakukan keduanya?

Jawapan : Mengenai Mukasyafah adalah terbukanya tabir rahasia antara sesama makhluk, yaitu orang yg beriman dan shalih, ada yg Allah swt beri kemuliaan mengetahui kejadian yg akan terjadi, atau isi hati seseorang, atau nasib seseorang, namun tidak secara keseluruhannya, dan hal ini teriwayatkan pada banyak riwayat shahih.

Mengenai Musyahadah adalah terbukanya rahasia antara Makhluk dg Penciptanya. yaitu makna dari sabda Rasulullah saw : Al ihsan adalah engkau beribadah seakan kau melihat Allah, jika kau tak bisa melihat Nya maka kau meyakini bahwa Dia Melihatmu.


Musyahadah adalah kesempurnaan derajat Al ihsan ini, hingga ia merasa selalu dilihat dan melihat Allah swt.
ia melihat makhluk maka yg hadir dibenaknya adalah ini semua milik Allah swt dan ini semua adalah isyarat Allah swt akan keberadaan Nya swt.

Maka ia tidak lagi bersama bersama makhluk, ia merasa selalu bersama Allah swt walau keberadaannya bersama makhluk.

Ungkapan Syeikh Ahmad Al Alawiy rahimahullah : Mereka melihat kami duduk bersama mereka, padahal itu bukan kami, ruh ruh kami berada dipuncak puncak tertinggi.
maksudnya jiwa kami tidak bersama makhluk, tapi bersama Allah swt.

Sehingga diungkapkan oleh seorang ulama salaf, khusyu ku bersama Allah swt adalah setiap waktu, dan saat aku shalat dan saat aku berjimak dg istriku jiwaku tetap sama khusyu nya pada Allah swt.

Demikian saudaraku yg kumuliakan, semoga dalam kebahagiaan selalu, semoga sukses dg segala cita cita,

SUDUT-SUDUT "ANA AL-HAQ" HALLAJ

Oleh : Wan Ji At-Ta'aduddi

Perkataan kontroversi seorang tokoh sufi bernama al-Hallaj mengundang tafsiran buruk dari pihak yang membenci beliau. Ungkapan "Ana al-Haq" atau aku Tuhan yang benar membawa Hallaj ke medan terbunuh. Didakwa beliau murtad ekoran perkataan itu.

Ada pihak mendakwa bahawa dia diarah bunuh bukan kerana kalimah itu, sebaliknya pemerintah yang tidak senang dengan gerakan melawan penguasa zalim ketika itu. Namun, ana al-Haq sebagai perkataan yang di kambing-hitamkan untuk menghalalkan darah beliau. 

Itu bukan tajuk yang mahu dibincang di sini, sebaliknya fokus perbincangan tertumpu pada perkara yang ada di sebalik ungkapan tersebut. 
Secara ringkasnya, sebutan ana al-Haq itu dilihat pada sudut-sudut berikut;

SUDUT SATU : TASYA'UR

Tasya'ur adalah ungkapan sesuatu perkataan yang datang dari perasaan diri ketika pengungkap empatikan dirinya kepada pihak yang diempatikan, atau dalam bahasa lain, tasya'ur itu adalah empati. 

Ia umpama seseorang yang mendengar sesuatu ungkapan resah hati rakannya. Semasa rakannya bercerita, dia meletakkan dirinya seperti berada dalam diri rakannya itu untuk hayati segala kesedihan dan keresahan rakannya itu. Apabila keadaan ini wujud, sudah pasti penghayatan terhadap keresahan tersebut mencapai tahap semaksima mungkin.

Perkara ini pernah digunakan oleh Nabi saw, makanya lahirlah satu perbincangan yang dinamakan sebagai Hadis Qudsi. Ungkapan itu dari Nabi saw, tetapi diempatikan diri baginda dengan Tuhan, makanya diungkap dalam sebutan "aku".

Contoh hadis Qudsi seperti Sabda Nabi saw bahawa Allah berfirman, "Aku haramkan zalim pada diriKu, lalu Aku haramkan ia berlaku di kalangan kamu".

Semasa Nabi Muhammad saw ungkapkan itu, bukan bermaksud Nabi Muhamad itu merasakan atau mendakwa diri baginda sebagai Tuhan, tetapi sebagai empati tentang keadilan Tuhan dan kebencian Tuhan terhadap kezaliman. 

Keadaan yang hampir sama dengan ungkapan Hallaj semasa mengungkapkan "Ana al-Haq". Ungkapan itu, bukan bermaksud Hallaj mengakui bahawa dirinya Tuhan, tetapi ungkapan mempamerkan empati terhadap kebenaran Tuhan yang Maha Benar.

SUDUT DUA : TAQRIR WA TAMKIN

Ungkapan ini lahir ekoran ada pertembungan dalam diri Hallaj tentang pengakuan terhadap kebenaran Allah dengan desakan hawa nafsu. 

Ia diumpamakan seperti seseorang ahli PAS yang dituduh sebagai Ahli UMNO. Bagi hendak menafikan tuduhan itu, dia berulang - ulang mengatakan "Aku ahli Pas". Apabila kemuncak ulangan, ia tidak lagi diungkap "Aku Ahli Pas", tetapi sudah diungkap "Aku PAS".

Ungkapan itu tidak memberi maksud bahawa dia adalah parti PAS, tetapi ungkapan itu sengaja diulang - ulang untuk menolak desakan yang menuduh dia sebagai ahli UMNO.


Keadaan yang sama berlaku pada Hallaj yang sedang kemabukan dan kefana'an tentang kebenaran Tuhan. Lalu, apabila ada desakan hawa nafsu yang menganggu hatinya yang sedang agungkan kebenaran Ilahi, menjadikan dia mengulang - ulang ungkapan "Ana al-Haq" bagi memastikan desakan hawa nafsunya itu tidak mendominasi hatinya yang sedang keasyikan dengan kebenaran Ilahi.

SUDUT TIGA : TAHQIQ WA TAZHIR

Pada ungkapan syahadah, iaitu "La Ilaha Illa Allah", ia mengandungi maksud penafian segala makhluk sebagai Tuhan kecuali Allah sahaja Tuhan yang layak disembah.

Di kalangan orang-orang sufi, ungkapan itu memberi maksud yang jauh lebih dalam dari kefahaman umum. Antaranya adalah penafian terhadap segala ilusi, tetapi akui terhadap hakikat yang sebenar. Dalam maksud yang mudah, ia seakan-akan ungkapan yang mengatakan "Semua adalah ilusi, kecuali Allah sahaja yang hakikat sebenar".

Pandangan mata terhadap segala makhluk di dunia, dianggap sebagai ilusi yang menghijab untuk melihat hakikat Ilahi. Ekoran itu, bagi orang-orang sufi, kemuncak dalam zikir bukan semata-mata lafaz zikir yang dinyanyikan, tetapi keseragaman jiwa dan raga ketika ungkapan zikir dilantunkan. Keseragaman lantunan zikir itu, menjadikan mereka merasakan bahawa mereka tenggelam dalam hakikat, sehingga merasakan semua selain itu sebagai ilusi.

Ungkapan "Ana al-Haq" oleh Hallaj mengandungi maksud begitu, iaitu lantunan kalimah ana al-Haq yang menjadikan dirinya terasa sebati dalam kebenaran hakikat Ilahi, sedangkan selain dari Tuhan itu adalah ilusi, bukan kebenaran.

Wallahu alam

30 Jan 2014 | 6 petang | Ulu Kelang

Insan Adalah RahsiaKU dan AKU Adalah Rahsianya

Al insanu sirruhu,wa anna sirruhu.. manusia itu ialah rahasiaku dan Aku lah rahasianya...

Mari kita kaji serba sedikit..

Insan Rahsia Aku, Aku rahsia insan, rahsia itu sifat Aku, sifat Aku tidak lain daripada Aku..

Allah memberitahu

1. Insan adalah rahsia Allah
2. Allah adalah rahsia insan
3. Rahsia itu adalah sifat Allah.
4. Sifat Allah itu adalah Allah sendiri

Untuk memahami apa yang sedang diterangkan oleh Allah pertama hendaklah kita mengetahui dan mengenali apakah sifat Allah itu..

Untuk memudahkan pemahaman Ulamak terdahulu telah memperkenalkan sifat 13.

Sifat yang wajib bagi Allah telah dipecahkan kepada 13 sifat (yang wajib diketahui, sebenarnya sifat Allah itu tidak terbilang)... Sifat yang wajib bagi Allah ialah sifat Allah sendiri..

Disamping sifat yang wajib bagi Allah, didalam ilmu sifat 13, juga diperkenalkan juga sifat yang mustahil bagi Allah iaitu sifat yang berlawanan dengan sifat yang wajib bagi Allah..

Jika sifat yang wajib bagi Allah ialah sifat Allah sendiri, jadi sifat yang mustahil bagi Allah pula sifat siapa?..

Sifat yang mustahil bagi Allah ialah sifat bagi selain dari Allah.

Pengenalan kepada Allah hanya boleh difahami dan boleh dirasai sehingga keperingkat sifat sahaja, tidak boleh sampai kepada Zatnya yang mutlak.. Hanya Zatnya sendiri yang mengenal Zatnya..

Sebagai insan (rahsia iaitu sifat Allah), hanya dapat merasai dan mengenali sampai kepada sifat Allah sahaja.. Sifat Allah itu bukanlah lain daripada Allah...

Sifat Allah itu bergantung kepada Zat Allah, sifat Allah tidak bercerai daripada Zat Allah. Sifat Allah itu adalah Allah sendiri...

Didalam mempelajari ilmu Tauhid, kita tidak boleh banyak berfikir (hentikan fikiran kita, maksudnya, jangan kita berfikir Allah begitu dan begini)..

Kita hanya perlu bertafakur sambil merasai kedalam, pertama yang perlu dirasai ialah sifat Ada, sifat ada adalah sifat yang wajib bagi Allah, sifat yang wajib bagi Allah adalah sifat Allah sendiri,

Bila sedang merasai keberadaan atau rasa kehadiran sifat ada... Yakinlah ada yang sedang dirasai itu adalah sifat ada Allah, sifat ada Allah yang sedang dirasai itu adalah bukan lain daripada Allah.. Hadzirkan keyakinan didalam tafakur itu yang sedang bertafakur dan sedang merasai kehadiran sifat Ada Allah itu adalah Allah sendiri..

Lakukanlah tafakur sambil merasai segala sifat yang wajib bagi Allah adalah sifat Allah sendiri (teruskan dengan sifat hayat, ilmu, kudrat, irodat, basor, sama' dan kalam dahulu)...

Insan adalah rahsia Allah, Rahsia Allah adalah sifat Allah, sifat Allah tidak lain daripada Allah....

Allah adalah rahsia insan, rahsia itu adalah sifat Allah, sifat Allah itu bukan lain daripada Allah..

Sebenarnya Insan itu adalah sifat Allah, sifat Allah bukan lain dari Allah..

https://www.facebook.com/syeikh.sitijenar.79/posts/434780329983117

http://marzukamartillo.blogspot.com/2014/07/insan-adalah-rahsiaku-dan-aku-adalah.html

Keakuan Ke Atas Diri Kita

Jika keakuan pada badan diri sendiri (kita) itu menjadi diri kita sendiri (iaitu hawa nafsu)...

Jika keakuan itu kepada Allah (kita itu menjadi diri atau rohullah)..

Pada diri itu ternyata sifatullah... Sifatullah sedang meliputi diri

Akuilah sifatullah itu adalah sifat Allah sendiri sehingga tidak terasa lagi kita yang bersifat dengan sifatullah yang sedang diperkenalkan untuk memperkenalkan sifatnya......

Pada jasad atau badan itu ternyata Afa'alullah.. Afa'allullah lah yang meliputi segala jasad

Jika Afa'alullah yang sedang meliputi jasad atau badan itu diakui sebagai perbuatan badan kita sendiri, pegangan kita telah mensyirikkan Allah pada segala perbuatan....

Jadi kenalah diakui yang segala perbuatan yang ternyata pada jasad itu adalah perbuatan Allah yang sedang meliputi, sehingga tidak terasa lagi perbuatan jasad kita dan perbuatan selain dari Allah..

Pada pengakuan itulah letaknya kepada siapa kita bertuhan...

Jika kita letakkan segala perbuatan, nama, sifat dan wujud Allah yang sedang meliputi badan diri kita, kepada diri sendiri (mengaku segala Ujud, sifat, asma' dan perbuatan Allah yang sedang meliputi badan diri kita sebagai wujud, sifat, asma' dan perbuatan badan diri sendiri) kita telah bertuhankan kepada keakuan diri sendiri atau kita sedang bertuhankan kepada hawa nafsu sendiri...

Bila segala perbuatan, nama, sifat, dan wujud Allah yang sedang meliputi badan diri kita dan sekalian alam itu diletakkan kepada Allah (telah diakui sebagai Ujud, sifat, asma' dan afa'al Allah - sehingga tidak tinggal lagi rasa kita ada wujud, sifat, nama dan perbuatan sendiri) bermakna kita sedang bertuhankan kepada Allah, tuhan sekalian Alam...

http://marzukamartillo.blogspot.com/2014/07/keakuan-ke-atas-diri-kita.html

Penambahan Yang Tidak Perlu

Sebahagian sesuatu ada penjelasannya. Penjelasannya mungkin panjang lebar dan memerlukan perbahasan yang sangat panjang dan terpeinci bagi memberikan tahkik dan kefahaman secara halus dan lumat. Kadang ia memerlukan suatu pengistilahan yang baru yang kadang kelihatan pelik, aneh dan ganjil serta pengolahan yang sangat rumit dan sukar dimengerti. Namun apa pun, objektifnya adalah memberi suatu pencerahan bagi mengembangkan sesuatu idea terhadap apa yang ingin diperjelaskan.

Tetapi tidak semua penjelasan yang panjang lebar itu tidak ada penambahan yang tidak perlu dan berlebih-lebihan sehingga ia menjadi penambah kerumitan dan kecelaruan. Sudahlah sebahagiannya tidak memiliki sandaran dan pijakan, ia pula menjadi pegangan yang perlu digenggam erat. Malah ia seperti diwajibkan pula untuk berpegang padanya dan sesiapa yang menolaknya ia seperti memperlekehkan para ulama' yang telah mencurahkan pendapat dan pandangan. Begitulah penekanan yang ditekankan pada orang lain dengan kononnya apabila tidak berpegang padanya membawa kepada kesesatan dan terkeluar daripada kefahaman para ulama'.

Begitulah dakwaan yang meleset dan tuduhan yang lancang diberikan kerana mereka tidak mahu dicabar dan dibantah. Melahirkan seorang pengikut yang hanya sekadar tunduk dan menjadi lembu yang dicucuk hidungnya sehinggakan mematikan tradisi ilmu yang menekankan para penuntut ilmu untuk mengerahkan usaha mengkaji, menyelidik dan meneroka. Bilamana para penuntut ilmu bertanya untuk kepastian atau penjelasan, mereka pula dihalang dan dimarahi kerana kononnya cuba ingin melampaui para ulama' yang telah menyiapkan suatu usul dan landasan yang perlu dilalui baginya.

Mereka ini seperti kelompok katak di bawah tempurung. Apabila seekor katak ingin keluar daripada tempurungnya, maka katak yang lain menghalang, kononnya apabila ia keluar daripada tempurung nanti takut mati dilenyek oleh kereta atau banyak ular di luar sana yang menanti mangsa di luar sana tersebut. Dengan momokan ketakutan yang disebar-sebarkan, lalu dibawa pula ayat gubahan indah kononnya tempurung tersebut rahmat daripada Tuhan supaya melindungi kita daripada kecelakaan di luar masuk memusnahkan kita.

Begitulah bunyi-bunyian yang cuba menyempitkan apa yang telah diluaskan oleh Allah dan menutup banyak jalan sehingga yang mudah menjadi payah, yang wasatiyyah berubah menjadi jumud, yang moderat jadi taksub dan mengurung sang merpati di dalam sangkar yang sempit. Dan juga menjadi taktik menutup kejahilan diri supaya orang lain terus menjadi pengikut-pengikut buta yang tidak lagi menggunakan akal untuk berfikir. Hentikanlah sikap memomokkan dengan menakutkan benda-benda yang tidak sepatutnya ditakuti. Bukan kita menafikan perkara itu tidak akan berlaku, tetapi melampau dalam khuatir terhadap sesuatu perkara adalah perkara yang dibenci oleh Allah SWT kerana bersikap berlebihan adalah sesuatu yang tidak disukai oleh-Nya. Sebab itulah orang yang berlebihan dalam Sadd az-Zara'i adalah sama seperti orang yang melampau dalam melonggarkan perlaksanaan syariat kerana sikap yang berlebihan.

Orang yang tidak bersetuju terhadap sesuatu bukan bermakna ia membenci pada orang yang mengemukakan sesuatu pendapat yang tidak setuju baginya atau ingin tunjuk hebat bahawa dia lebih terkehadapan daripada orang yang mengemukakan sesuatu pendapat yang tidak setuju baginya. Kebanyakan tuduhan liar dan tidak berasas inilah yang selalu menjadi dalil bagi menghalangi mereka ingin mencari alternatif lain atau membuat perbandingan untuk menentukan mana yang lebih benar dan kuat.

Penuntut ilmu adalah mereka yang mengerahkan usaha untuk mengkaji, meneliti dan meneroka sesuatu perkara. Itulah ciri yang ada pada mereka dan hendaklah kita meraikan kesungguhan mereka dalam meneliti dan mengkaji. Bersikap terbukalah walaupun ia mempunyai kekurangan dan kesilapan, hal tersebut bukannya bermakna penutup dan penghadang bagi ia meneruskan pembelajarannya. Sepertimana kita sebagai pembeli kereta, kita berhak untuk bertanya dan membandingkan pada kereta mana yang sesuai dengan dirinya baik dari segi kewangan, keperluan dan tuntuan hajatnya. Walaupun kita tidak tahu komponen, alatan, teknikal dan struktur yang terdapat pada kenderaan tersebut seperti cara pembuatannya, cara ia direkabentuk, bagaimana setiap kompenen kenderaan berfungsi dan sebagainya, tetap tidak menghalang kita untuk mengkaji dan membuat pilihan mana yang terbaik buat diri kita.

Begitulah dalam hal agama. Walaupun seorang penuntut ilmu tidak mampu untuk mengetahui mendalam hal-hal seperti usul dalam setiap mazhab, pendalilan bagi setiap pendapat, kaedah-kaedah dalam pengeluaran hukum dan seumpamanya, tidak bermakan penuntut ilmu tidak boleh memilih mana yang terbaik bagi dirinya. Memang setiap orang diperingatkan agar berbicara pada yang tidak ia ketahui, namun diperingatkan jangan kita menghalang sesiapa untuk mendalami apa yang tidak ia ketahui supaya ia boleh diberikan kefahaman tentang sesuatu perkara. Kalaupun sebahagian penuntut ilmu tidaklah setaraf keilmuan seperti kita, tidak patut kita menghalang mereka hanya duduk di situ sahaja tanpa perlu berkembang dan meningkat naik.

Sudah menjadi adat kebiasaan mereka yang berkembang kefahamannya pasti ada beberapa perkara yang tidak sependapat dalam sesuatu perkara. Hal tersebut bukanlah bermakna mereka itu mahu menentang apa yang dibawa terdahulu atau membina sebuah mazhab sendiri atau tidak menghormati mereka yang 'alim atau mereka mahu mempamerkan kepandaian pada orang lain. Usah dibuat tuduhan lancang dan celupar, kerana kebencian, dengki dan penyakit kekotoran hati akibat taksub dan jumud hanya akan menjadikan seteru pada yang bukan haknya.

Memang ada sebahagian orang terus berpegang teguh dengan apa yang diusulkan oleh para 'alim dan tidak mahu menyalahi apa yang dibawa oleh mereka. Tidak salah dalam hal tersebut, kerana mungkin daripada mereka menghormati, merendah diri dan tidak mahu tergelincir dalam hal yang ia menyalahi. Cukup mendengar dan menerima sahaja daripada mereka. Tetapi sikap kita janganlah kita bermusuhan dengan orang lain yang ingin meneroka lebih dalam dan ingin membuat perbandingan serta memilih yang lebih kuat. Para 'alim tidaklah hanya seorang atau sekelompok sahaja, bahkan berterusan sepanjang zaman mereka yang ramai untuk diikuti dan diyakini. Daripada mereka petunjuk yang boleh membuka jalan kepada kebenaran. Usah bertelagah. Bagi yang menuntut ilmu dengan mendalam tidak perlu menyalahkan mereka yang terus bersama apa yang diikutinya kerana mereka juga mengikuti kepada mereka yang mempunyai sandaran dan pijakan. Raikanlah perbezaan daripada setiap kedua-dua belah pihak.

Berbalik pada di atas, apa yang saya ingin nyatakan di sini bahawa terdapat penambahan yang tidak perlu bagi saya untuk diusulkan dan dikemukakan. Hal tersebut akan menjadi sebuah perbahasan yang tidak bermanfaat, menimbulkan kecelaruan dan penambah salah faham terhadap sesuatu perkara. Pada hal ini, saya tidak mengira ia pada bab fiqh, tetapi mungkin pada hal seperti tauhid dan tasawwuf. Saya mendapati banyak penambahan yang tidak perlu pada perkara tersebut. Salah satu faktornya mungkin mahu menjelaskan supaya lebih lumat kefahamannya dan mengembangkan sesuatu idea tersebut. Namun, yang tidak perlu untuk diusulkan, tidak perlu untuk dimasukkan.

Contoh seperti bab pengkelasan sifat ma'ani, sifat salbiyyah, sifat nafsiyyah, sifat ma'nawiyyah, pecahan syariat, tarekat, hakikat dan makrifat, penambahan sifat Allah daripada tiga belas kepada dua puluh, konsep Nur Muhammad, martabat tujuh alam, martabat tujuh nafsu, martabat kewalian dan lain-lain. Ini antara perkara-perkara yang saya tidak dapat terima kerana mengandungi banyak penjelasan yang tidak penting dan keterangan yang tidak perlu ditambahkan lagi. Kadang ada yang lebih melampau seperti perbahasan amrun i'tibari adakah ia makhluk atau tidak, pentakwilan huruf seperti huruf pada kalimah Allah (الله), Muhammad (محمد), Ahmad (احمد), Adam (ادم) dan lain-lain. Ini semua saya kira tidak perlu adanya kerana hal tersebut hanya penambahan yang tidak perlu.

Malahan tidak hanya dalam bab tersebut mempunya penambahan yang tidak perlu. Saya sendiri pun mengambil subjek seperti Management, Marketing dan Human Resource pun banyak penerangan yang tidak perlu yang kadang hanya menambah beban dan kerumitan dalam sesuatu perkara. Contoh seperti langkah-langkah daripada satu perkara ke sesuatu perkara.

Terpulang pada masing-masing yang ingin terus membincangkan, merungkaikan dan membahaskannya lebih lanjut. Tetapi apabila ini dihadapkan pada saya, selalunya saya tidak melayani dan menganggapnya sebagai hujah kerana tidak terdapat sandaran dalil bagi menyokongnya. Hanya cuma andaian yang dibuat-buat. Walaupun saya berpegang dalam manhaj al-Asy'ariyyah dan mempunyai kecenderungan dalam merenangi falsafah kesufian, simbolik seni dan hakikat tentang sesuatu perkara, tetapi tidak bermakna saya membiarkan diri saya terlibat dan tergantung dengan pertambahan yang tidak perlu baik pada istilah mahupun keterangannya. Kalau didapati saya menggunakan perkara tersebut maka sama ada saya hanya cuma sekadar tampalan sahaja atau apabila hal tersebut diperlukan, tidak lebih dari itu sebagai hujah atau sandaran sokongan. Cukup mengambil yang perlu sahaja dan tidak perlu untuk mengambil sesuatu yang bukan keperluan. Apatah lagi yang tidak ada keperluan itu tidak mempunyai kemanfaatan, tidak mempunyai nas dan menimbulkan kecelaruan.

Wallahua'lam.



Jangan Berlebihan Dan Melampau Dalam Perkara Simbolik.

Sebahagian pelampau agama berlebihan dalam bab simbolik sehingga mendahulukan falsafah dan logika daripada nas-nas al-Quran dan as-Sunnah serta melampaui dalam perkara-perkara simbolik sehingga menanggalkan pensyariatan dan melepaskan amal serta taklif daripada mereka. Ini adalah perbuatan bid'ah sesat yang tercela sekali gus mencemarkan kemurniaan Islam yang menekankan soal amal dan kefahaman yang sebenar terhadap sesuatu perkara. Mereka yang melampau-lampau dalam perkara ini adalah orang yang banyak berkhayal dalam sesuatu perkara dan mencari-cari takwil yang memenuhi selera mereka demi membuat pemahaman menyeleweng yang terkeluar daripada usul dan furu' Islam.

Contohnya mereka memahami solat dan haji begitu begini sehinggakan pelbagai tafsiran yang dikeluarkan, lalu membuat kesimpulan melulu untuk tidak lagi melaksanakan solat dan haji kerana kefahaman simbolik yang dikatakan penuh majaz dan kiasan. Atau contoh yang lain mereka menambah-nambah sesuatu penjelasan yang tidak perlu dan tidak bermanfaat sehingga menjadikan ia sebagai suatu kepercayaan dan pegangan yang tidak berasas lantas menjadikan ia sebagai hujah dalam penentuan sesuatu kebenaran mutlak dengan tafsirannya yang menyeleweng.

Sesungguhnya kaum Muslimin berlepas diri daripada semua perkara tersebut. Kita bukanlah berpihak pada mereka yang terlalu menyempitkan sesuatu skop sehingga hanya menjadi berpegang pada literal dan zahir terhadap sesuatu semata-mata dan kita bukan juga menyokong mereka yang melampau dalam meluaskan skop sehingga melanggar batasan-batasan yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ada sebahagian perkara ia boleh difahami dengan zahir dan mesti difahami dengan zahir. Ada sebahagian perkara ia boleh difahami dengan majaz dan mesti difahami dengan majaz. Sepertimana kita menerima di dalam al-Quran dan as-Sunnah ada yang muhkamat dan mutasyabihat, seperti itulah kita terima hakikatnya.

Dalam perkara zahir kadangkala ada simbolik, rahsia dan hikmah padanya yang mungkin boleh diteroka. Contohnya seperti pensyariatan zakat mampu menjana ekonomi umat Islam dan menghapuskan sikap kikir, bakhil dan tamak dalam harta. Dan ada juga yang tidak diketahui simbolik, rahsia dan hikmah padanya seperti mengapa solat Subuh dilaksanakan dua rakaat, kitaran tawaf sebanyak tujuh kali dan sebagainya. Walaupun ada beberapa tafsiran mengenainya, namun itu tidak bermakna menjadi sebagai pegangan yang mesti difahami secara begitu. Andaian-andaian ini cumalah pandangan yang tidak terbukti benar dan mungkin terdedah dengan kesilapan. Namun apa pun, apabila ada sesuatu perkara zahir itu mesti difahami dengan zahir, maka berpegang sahaja pada zahir tersebut.

Sesuatu perkara tersebut mestilah difahami pada zahirnya secara asalnya melainkan jika ada qarinah yang memalingkan ia kepada makna majaz. Begitulah sepertimana yang dibentangkan dalam kaedah Usul Fiqh. Wujud perkara majaz, maknawi, simbolik, kiasan atau apa sahaja seumpamanya tidak bermakna sesuatu perkara itu boleh diterangkan secara panjang lebar dan penerokaan yang dalam kerana hal tersebut membawa akibat penyelewengan dan kesesatan dalam agama. Masing-masing ada pembatasan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Bukanlah menghalang untuk menterlibatkan dalam gelanggang falsafah, tetapi hendaklah dikawal dan diselia supaya apa yang diperoleh dan dicapai itu bersesuaian dengan pijakan usul dan furu' Islam. Dalam setiap perkara yang berhubung kait dengan agama hendaklah al-Quran dan as-Sunnah itu menjadi teras utama dalam menjadikan kunci permulaan dan titik pengakhiran bagi sesuatu perkara. Mana-mana yang bertentangan dengan kedua-dua perkara tersebut hendaklah ditolak. Perkara-perkara simbolik kadang huraiannya sangat panjang dan perlu adanya keterlibatan dalam falsafah untuk difahamkan tentang perkara simbolik tersebut.

Namun, apa yang terjadi pada sekarang ini telah terjadi sebahagian orang yang berlebihan dalam perkara simbolik sehingga perkara-perkara zahir menjadi kefahaman secara batin atau maknawi. Kemudian terus meluncur jauh dengan falsafah-falsafah yang menghasilkan istilah-istilah dan pentafsiran berdasarkan penambahan yang tidak perlu. Lebih melampau lagi kefahaman tersebut menjadi pegangan sehingga meninggalkan terus amalan-amalan yang diberatkan ke atasnya untuk dilaksanakan dengan alasan ia telah menemui puncak destinasinya di mana ia tidak perlu lagi melaksanakannya lagi dan seumpamanya. Dengan pula bahasa kononnya yang kaya dengan ketinggian serta ilmu yang bukan sebarangan orang dapat dicapai menjadikan perisai-perisai palsu untuk menutup kebathilan yang dianut dan dibawa olehnya. Kejelekan ini sangatlah buruk seperimana buruknya bunyi himar yang mendengus.

Sesungguhnya inilah suatu kesesatan yang nyata dan tersembunyi yang perlu dijauhi oleh umat agar agama ini tidak dirobekkan. Dan inilah cabaran masa kini yang memerlukan ketelusan, kegigihan dan kesungguhan bagi memastikan apa yang difahami itu boleh diukur dengan sebenar-benar kebenaran yang terulung. Semoga kita semua menjadi hamba Allah SWT yang dikurniakan ilmu yang bermanfaat, kefaqihan yang dalam serta amal yang membawa kebaikan di dunia dan di akhirat.

Contoh golongan yang sesat sepertimana yang dikhabarkan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dalam kitabnya Sirrul Asrar :

Kaum Hululiyah, iaitu para penganut fahaman inkarnasi yang menyatakan bahawa halal hukumnya memandang paras yang menawan, baik lelaki mahupun perempuan, baik isteri, suami, anak ataupun saudara orang lain. Mereka bercampur baur dan menari bersama. Tentulah perilaku dan pandangan mereka bertentangan dengan ajaran dan hukum Islam yang mementingkan kemuliaan dan kehormatan.

Kaum Hululiyyah ini menyanyi, menari, menjerit dan bertepuk tangan agar dimasuki roh. Mereka meyakini bahawa syeikh mereka telah meraih peringkat rohani tertinggi sehingga berada di luar jangkauan hukum agama. Tentu saja perilaku mereka itu sama sekali jauh dengan perikalu para kekasih Allah yang sangat memerhatikan dan memuliakan hukum agama.

Kaum Awla'iyyah yang mengaku dekat kepada Allah dan meyakini bahawa jika seorang hamba mendekatkan diri kepada Allah, ia terlepas dari semua bentuk kewajipan. Bahkan, mereka mengaku sebagai wali, sahabat Allah dan orang yang dekat kepada-Nya sehingga kedudukan mereka lebih luhur daripada seorang Nabi. Menurut mereka, Rasulullah diberi ilmu melalui Jibril AS, sedangkan seorang wali mendapatkannya terus daripada Allah. Mereka ini benar-benar telah melakukan dosa besar kerana berkeyakinan seperti itu. Mereka telah menjerumuskan diri sendiri ke dalam kemurtadan dan kekufuran.

Kaum Syamuraniyah, yang menyatakan bahawa kata itu kekal dan orang yang mengucapkan kata yang kekal itu tidak terikat oleh kewajipan agama; mereka tidak kenal hukum halal haram. Dalam beribadah, mereka menggunakan alat muzik. Mereka tidak memisahkan kaum lelaki dari kaum wanita, kerana bagi mereka, tidak ada perbezaan antara keduanya. Ketahuilah, mereka hanyalah sekumpulan kafir yang sesat.

Kaum Hubiyyah, yang mengatakan bahawa manusia telah mencapai maqam cinta (Hubb) terbebas daripada semua kewajipan agama. Salah satu kesesatan mereka adalah bahawa mereka tidak menutup aurat.

Kaum Hurriyyah yang sebagaimana kaum Haliyyah, berteriak, bernyanyi dan bertepuk tangan untuk mencapai keadaan ekstatik. Dalam keadaan tidak sedar itu mereka mengaku telah bersenggama dengan para bidadari; ketika sedar kembali, merekapun mandi wajib. Mereka disesatkan oleh dusta mereka sendiri.

Kaum Ibahiyyah yang menolak menganjukan kebaikan dan enggan melarang kebaikan. Sebaliknya, mereka menghalalkan segala yang haram. Di antaranya, mereka berkeyakinan bahawa semua perempuan halal bagi kaum lelaki.

Kaum al-Mutakasiliyah atau orang-orang yang malas (kasl). Sebagai mata pencarian, mereka mengemis dari pintu ke pintu. Menurut mereka, itulah cara yang baik untuk meninggalkan keduniaan. Padahal, perilaku itu menggambarkan sifat dasar mereka yang malas.

Kaum Mutajahiliyah, yang berpura-pura bodoh dan sengaja mengenakan pakaian mewah meniru perilaku kaum kafir, padahal Allah berfirman, "Janganlah kamu condong kepada orang-orang kafir.." (Surah Hud ayat 11). Rasulullah SAw, "Barangsiapa sengaja menyerupai suatu kaum, ia termasuk ke dalamnya".

Kaum Wafiqiyah, yang menyatakan bahawa Allah yang mampu mengenal Allah. Oleh itu, mereka enggan mencari jalan kebenaran. Mereka membiarkan dibawa kebodohan mereka sendiri ke jurang kebinasaan.

Kaum Ilhamiyyah, yang menyandarkan ilham, mengabaikan ilmu, melarang belajar dan menyatakan bahawa al-Quran merupakan tabir bagi mereka dan bahawa renungan puisi adalah al-Quran mereka. Mereka meninggalkan al-Quran dan solat. Mereka hanya mengajarkan syair kepada anak-anak mereka.